Perbelanjaan kesihatan Malaysia 2023-2028 diunjur meningkat pada CAGR 8.3 peratus

Penyedia penjagaan kesihatan swasta akan terus menarik pesakit berpendapatan tinggi termasuk pelancong perubatan dan pesakit domestik. Gambar hiasan 123rf
Penyedia penjagaan kesihatan swasta akan terus menarik pesakit berpendapatan tinggi termasuk pelancong perubatan dan pesakit domestik. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - BMI, firma Fitch Solutions, mengunjurkan perbelanjaan kesihatan Malaysia meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 8.3 peratus dari 2023 hingga 2028, dengan perbelanjaan awam naik 8.5 peratus manakala perbelanjaan swasta sebanyak 8.1 peratus.

Menurutnya unjuran positif itu disokong oleh peningkatan dua angka dalam belanjawan penjagaan kesihatan kerajaan pada 2023 dan 2024 di samping peningkatan berterusan dalam sektor swasta.

"Ini akan menjadikan pertumbuhan perbelanjaan kesihatan jangka masa sederhana Malaysia menjadi antara yang terpantas di ASEAN," jelasnya.

Penduduk menua, beban penyakit kronik yang semakin meningkat, usaha untuk meningkatkan infrastruktur kesihatan awam dan menambah baik akses untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan akan memacu pertumbuhan sektor awam, tambahnya.

"Penyedia penjagaan kesihatan swasta akan terus menarik pesakit berpendapatan tinggi termasuk pelancong perubatan dan pesakit domestik yang mahu mengelakkan tempoh menunggu yang lama ekoran kekurangan doktor dan jururawat di Malaysia," menurut BMI.

BMI memaklumkan pertumbuhan perbelanjaan satu digit yang tinggi di Malaysia akan menjadikan negara ini mengatasi negara serantau lain seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia dalam jangka masa sederhana.

"Perbelanjaan kesihatan per kapita tahunan kekal melebihi purata pasaran global dan yang sedang pesat membangun, menunjukkan kapasiti perbelanjaan produk perubatan termaju yang kukuh," katanya.

Sementara itu, BMI menjelaskan Malaysia akan terus memajukan tawaran penjagaan kesihatannya untuk menarik pelancong perubatan namun, akan menghadapi persaingan serantau yang sengit dari Thailand dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Perkongsian dijangka kekal sebagai usaha Malaysia untuk meningkatkan industri pelancongan perubatan memandangkan negara ini berusaha untuk kekal berdaya saing dalam persaingan serantau.

Malaysia akan terus menangani cabaran kebolehcapaian di kawasan luar bandar dengan belanjawan 2024 kerajaan mengutamakan pelaburan dalam kemudahan kesihatan, termasuk memperluas hospital dan membina klinik kesihatan baharu untuk meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan.

"Kerajaan Malaysia juga menyasar untuk melancarkan rekod perubatan elektronik di seluruh negara pada 2026 dalam usaha menambah baik kecekapan sistem penjagaan kesihatan," tambahnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!