Gaya hidup 'tak mahu miliki anak' tidak selaras kehendak Islam
JIKA ada satu gelombang yang boleh menggambarkan perubahan gaya hidup golongan digelar sebagai Millennials dan Gen Z kini, maka salah satunya ialah tren tidak mahu memiliki anak atau dalam istilah yang popular, childfree.
Namun, perlu dibezakan keinginan tidak mahu memiliki anak (termasuk mengambil anak angkat) dengan tidak ada upaya untuk melahirkan dan mendapatkan anak (childless).
Sebagai gaya hidup, childfree merupakan satu pilihan yang sengaja dibuat.
Sebuah laman komuniti di Reddit dinamakan sebagai Childfree yang mengumpulkan kelompok yang tidak mahukan anak.
Do not ever want children, itu deskripsi di web bagi menerangkan tujuan komuniti yang dianggotai 1.5 juta ahli ini diwujudkan.
Di dalamnya terhimpun luahan penyokong childfree dari alasan tidak mahu beranak untuk mengurangkan populasi dunia sehinggalah rasa syukur kerana dapat tidur dengan nyenyak tanpa gangguan tangisan bayi.
Di media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube, kehidupan ‘tanpa anak’ ini juga semakin mendapat perhatian generasi muda.
Seorang pengguna dengan nama Marcela menggunakan gelaran ‘gadis dengan gaya hidup tanpa anak’ (Childfree lifestyle girly).
Beliau memuatkan hampir 300 video di YouTube, di antaranya berkenaan keperitan hidup menjadi seorang ibu, keseronokan hidup berseorangan dan kenapa tidak memiliki anak adalah pilihan terbaik buatnya.
Menurut Rachel Chrastil dalam bukunya, How to Be Childless: A History and Philosophy of Life Without Children, gaya hidup tanpa anak telah sedia meletus di Barat seawal tahun 1970-an.
Faktor utama ialah pengeluaran The Pill iaitu istilah yang diberikan untuk pil pencegah kehamilan.
Dengan adanya pil ini, wanita termasuk yang belum berkahwin tidak lagi bimbang melakukan hubungan intim secara bebas, seiring dengan itu, gelombang self-actualization atau kesedaran pencapaian diri turut berkembang di Barat.
Selain itu, biaya tinggi untuk membesarkan anak dilihat satu kekangan pada masa kini.
Dalam pandangan Islam, persoalan tentang anak dibincangkan selepas persoalan perkahwinan.
Tujuan perkahwinan itu sendiri selain memenuhi fitrah manusia untuk hidup berpasangan serta untuk menyalurkan kehendak seksual melalui jalan yang sah, ia juga bertujuan untuk mendapatkan anak dan mengembangkan keturunan.
* Profesor Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!