BRICS: Negara berdepan risiko geopolitik, persaingan sengit

Muka depan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Yazid)
Muka depan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Yazid)
A
A
A

SHAH ALAM - Negara bakal berdepan dengan risiko geopolitik dan persaingan sekiranya menyertai BRICS.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata, penjajaran dengan BRICS berupaya merenggangkan hubungan Malaysia dengan negara Barat terutamanya jika berlaku ketegangan dan sistem politik yang pelbagai boleh membawa kepada konflik kepentingan sehingga merumitkan strategi diplomatik.

Menurutnya, persaingan pasaran dengan ekonomi besar seperti China dan India mungkin menenggelamkan kepentingan Malaysia hingga menyebabkan terjadi persaingan sengit dalam beberapa sektor.

“Kebergantungan yang berlebihan dengan blok tersebut mampu menjadikan keadaan turun naik ekonomi negara terdedah kepada mereka.

“Selain itu, penyelarasan dasar ekonomi dan peraturan Malaysia dengan standard BRICS boleh menimbulkan cabaran serta memerlukan penyesuaian ketara kepada rangka kerja sedia ada.

“Perkaitan dengan negara yang mempunyai pelbagai rekod hak asasi manusia dan amalan tadbir urus boleh menjejaskan reputasi antarabangsa Malaysia,” katanya.

Mohd Yazid tidak menafikan terdapat kelebihan apabila kerajaan menyertai gabungan tersebut, namun beberapa strategi masih perlu dipertimbangkan bagi meminimumkan kesan negatif atau risiko pada masa akan datang.

Jelasnya, satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara terlibat wajar dilaksanakan agar berlaku perkongsian kepelbagaian ekonomi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada BRICS.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pengamalan dasar luar yang seimbang perlu dijaga supaya hubungan baik dengan ahli BRICS dan negara Barat dapat dikekalkan dalam usaha mengelakkan konflik geopolitik.

“Ia kerana Barat sudah pun tidak selesa dengan Malaysia kerana pendirian tegas kita dalam isu genosid di Gaza.

“Jadi bina diplomasi aktif dengan organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mengekalkan kehadiran global yang neutral serta seimbang,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!