Lawak geng masjid 'another level', bilal kerdil jadi perhatian
SHAH ALAM - Jika dahulu medan menyampaikan dakwah hanya terhad di masjid, surau atau melalui institusi agama.
Namun seiring teknologi masa kini dan juga ledakan media sosial, ramai golongan agamawan mula menggunakan platform itu sebagai medan menyebarkan ilmu terutama berkaitan Islam.
Menggunakan kelebihan yang ada, 'geng' Masjid Jamek Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor menukar cara berdakwah menerusi video berunsur komedi bagi memastikan mesej disampaikan lebih mudah difahami penonton.
Sering mendapat tontonan tinggi serta memasuki FYP (For Your Page), kebanyakan video pendek di platform TikTok itu mengetengahkan 'bilal kerdil' sebagai pelakon utama.
Imam masjid berkenaan, Mohamad Zaid Mohamad Amran berkata, pendekatan sedemikian mampu menarik perhatian terutama golongan muda untuk lebih memahami sekali gus mempelajari ilmu agama.
"Jika dilihat dari perwatakan Shaqiq (bilal kerdil), dia tidak sesuai berdakwah secara serius.
"Sebab itu kebanyakan video yang tular dan FYP, dia pelakon utama.
"Namun dalam setiap video, lawak itu tidak berlebihan, tidak menjatuhkan imej masjid dan situasi yang dilakonkan sebenarnya pernah berlaku di masjid itu sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Terdahulu sebuah video mengenai cara makmum menegur imam ketika solat terbatal mendapat lebih enam juta tontonan dengan hampir 400,000 tanda suka di platform berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meninggalkan komen positif dan mencadangkan penyampaian secara santai dan lawak diteruskan.
"Macam ini seronok layan, ada penjelasan, ada demonstrasi. Bukan cakap panjang-panjang," komen @sulaiman.
"Dalam lucu ada ilmu yang bermanfaat. Saya suka 'content' masjid macam ni. Lawak 'another level'," komen @Herry.
Dalam pada itu Mohamad Zaid menjelaskan, kandungan yang dimuat naik merupakan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi oleh makmum atau imam ketika dalam solat.
"Contoh ketika solat berjemaah dan imam baca surah panjang, kita sebagai makmum ada kerja yang perlu disegarakan.
"Maka kami ketengahkan cara penyelesaian kepada makmum agar solatnya masih sah walaupun keluar dari berjemaah menerusi demonstrasi video," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!