Lidah tidak bertulang, tajam ibarat pedang
“DAH tahu bahaya, kenapa ambil risiko?”
“Hobi tak bermanfaat.”“Tak ada penyakit, cari penyakit.” Itu antara kata-kata tidak enak yang dilontarkan warganet apabila negara dikejutkan dengan berita seorang pendaki Malaysia maut selepas terkandas selama tiga hari di Gunung Denali, Alaska.
Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, disahkan meninggal pada Rabu minggu lalu, jam 6 pagi waktu tempatan akibat high altitude cerebral edema dan hypothermia semasa berlindung di sebuah gua salji selepas terkandas pada ketinggian 6,190 meter berhampiran puncak gunung tertinggi di benua Amerika Utara itu.
Dia bersama dua lagi rakan iaitu Muhammad Illaham Ishak, 47, dan Zainudin Lot, 47, terperangkap akibat cuaca buruk ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan pada hari sebelumnya.
Khabar duka itu tentunya memberi kesan kepada peminat aktiviti ekstrem khususnya komuniti pendaki di negara ini apabila ekspedisi itu telah melibatkan kehilangan nyawa.
Namun, siapalah kita untuk menolak ketentuan takdir?
Sebagai seorang yang pernah aktif dalam dunia pendakian, penulis juga merasa sedih dengan apa yang telah menimpa peserta ekspedisi tersebut dan apa sahaja kes melibatkan pendaki, ia begitu dekat dengan hati penulis.
Meskipun penulis bukanlah ‘pendaki ekstrem’, kata-kata tidak enak yang dilontarkan warganet berhubung kejadian tersebut amat tidak wajar dan membuatkan penulis merasa terpanggil untuk menulis tentangnya.
Penulis percaya, mana-mana peserta ekspedisi pasti sedia maklum dengan risiko yang bakal mereka hadapi, dan kerana itu setiap pendaki yang berani berdepan risiko tidak pergi dengan ‘kosong’.
Mereka membawa bersama semangat, pengalaman, dan yang penting latihan persediaan sebelum menuju misi menawan puncak. Paling utama adalah misi untuk pulang dengan selamat.
Ini kerana, masih ramai orang tersayang, dan mereka yang tiada keupayaan serta peluang, menanti untuk ‘melihat’ cerita yang dibawa pulang.
Secara peribadi, bagi penulis, cerita yang dinantikan adalah tentang kebesaran ALLAH SWT menciptakan gunung-ganang, tentang keindahan dunia yang terbentang.
Ya, kudrat yang digunakan para pendaki tidak sama ceritanya dengan rakaman visual dari udara.
Tetapi, ketentuan ALLAH SWT mengatasi segalanya, apatah lagi kejadian yang menimpa peserta ekspedisi tersebut membabitkan cuaca buruk, iaitu di luar keupayaan kita sebagai manusia.
Kerana itu, bagi penulis, tindakan warganet yang melemparkan kata-kata tersebut adalah sangat tidak wajar dan tidak menghormati jenazah, juga waris.
Benarlah bahawa lidah itu lembut tidak bertulang, tetapi tajamnya ibarat pedang.
Mengapa apabila selamat pulang, kejayaan ekspedisi dijulang...tetapi jika ditimpa malang, ada sahaja yang tak kena di mata orang?
Justeru, tidak perlulah kita mempertikaikan tentang hobi orang lain kerana setiap individu dilahirkan dengan minat dan keupayaan yang berbeza.
Cukuplah kita mengambil pengajaran atas apa sahaja kejadian tidak diingini yang berlaku, dan mendoakan hal yang baik dalam apa juga keadaan.
Sabtu lalu, jenazah Allahyarham Zulkifli tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dikebumikan di Perak.
Jenazah diterbangkan pulang ke Malaysia melalui penerbangan Korean Airlines melalui penerbangan transit di Los Angeles dan Incheon, Korea.
Alhamdulillah, perjalanan terakhir Allahyarham menuju ke tanah air ini berjalan lancar dan segala urusan pengebumian dipermudahkan. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Apa pun, bagi mereka yang minat dengan hobi mendaki ini, jangan patah semangat. Teruskan usaha sehingga ke puncak, kerana menjelajah dan melihat pelosok dunia juga dapat menyedarkan kita tentang kebesaran ALLAH SWT.
*Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Meja Nasional Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!