Keluarga mahu misteri Nurin turut dirungkai

Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin
Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin
A
A
A

SHAH ALAM - Biarpun sudah hampir 17 tahun berlalu, namun keluarga Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin tetap berharap agar pembunuh kejam kanak-kanak berusia lapan tahun itu dapat dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman setimpal.

Justeru, bapa mangsa, Jazimin Abdul Jalil merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan polis supaya meneruskan semula siasatan sehingga misteri kes pembunuhan anak keduanya dapat dirungkai.

Rayuan Jazimin itu dibuat susulan keluarga Allahyarham Nurin Jazlin terkesan dengan tekad dan komitmen Anwar meminta polis menyelesaikan segera kes-kes berprofil tinggi yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Jazimin berkata, tindakan itu penting kerana walaupun kes berkenaan sudah lama berlalu, namun mereka sekeluarga tetap berharap pelaku kes pembunuhan itu dapat dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Jika polis tidak membantu mendapatkan keadilan buat Nurin Jazlin maka kematian anak saya hanya sia-sia dan tidak mustahil ramai lagi kanak-kanak akan menerima nasib sama,” katanya kepada yang masih merindui pemergian anaknya itu kepada Sinar Harian.

Untuk rekod, Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika berada di luar rumah bersendirian berhampiran kediamannya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 17 September 2007.

Namun, mayatnya hanya ditemui seorang pemilik kedai yang ternampak sebuah beg sukan ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya, Selangor, pada 17 September, tahun sama.

Mayat kanak-kanak yang tidak dikenali itu yang disumbat dalam beg berkenaan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa telah mati lebih daripada tiga jam sebelum penemuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jazimin menolak dakwaan pihak tertentu bahawa Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan mahu ke pasar malam berdasarkan reaksi anjing pengesan polis (K9) semasa siasatan dijalankan.

“Dakwaan sesetengah pihak bawa Nurin hilang semasa perjalanan ke pasar malam hanya andaian semata-mata kerana anjing K9 membuktikan anak saya tidak pergi ke arah itu.

“Kalau anak saya hilang semasa menghala ke pasar malam, K9 mesti dapat mengesannya dan bukan pergi ke arah bertentangan semasa siasatan.

“Saya difahamkan Nurin memang ada pergi ke pasar malam pada waktu petang bersama kakak dan beberapa rakannya. Nurin tidak pernah pergi bersendirian dan kalau saya ada di rumah dia ajak saya.

“Tambahan pula saya tahu dia (Nurin) seorang penakut dan tidak berani pergi ke pasar malam bersendirian,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!