Kerajaan disaran optimum penggunaan gerabak sedia ada

Perkhidmatan kereta api amat terhad dan tidak meliputi seluruh negara termasuk Sarawak serta Sabah. Gambar hiasan
Perkhidmatan kereta api amat terhad dan tidak meliputi seluruh negara termasuk Sarawak serta Sabah. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengadakan perbincangan bersama pengurusan kereta api bagi mengoptimumkan penggunaan gerabak sedia ada terutama di jalur perjalanan melibatkan permintaan pengguna yang tinggi.

Pakar pengangkutan, Dr Rosli Azad Khan berkata, cadangan itu antara langkah segera yang boleh diambil kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi di mana dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan bakar secara serta-merta sambil menunggu penambahbaikan infrastruktur jangka masa panjang.

“Selain itu, maksimumkan kapasiti gerabak yang ada dengan jadual perjalanan yang lebih efisien dan sediakan perkhidmatan bas tambahan untuk kawasan yang tidak diliputi rangkaian kereta api.

“Subsidi untuk pengangkutan awam lain mesti ditingkatkan dan ada baiknya jika kuota subsidi diesel tidak diguna pakai,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Jumaat, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan mengalihkan penjimatan penyelarasan subsidi diesel dengan meningkatkan jumlah kereta api di negara ini agar rakyat dapat menggunakan pengangkutan awam itu secara menyeluruh.

Sementara itu, menurut beliau, jumlah gerabak kereta api di negara ini masih tidak mencukupi terutamanya menjelang musim perayaan dan cuti sekolah memandangkan perkhidmatannya agak terhad.

“Sekiranya strategi asal Kementerian Ekonomi ialah berpindah kepada menggunakan perkhidmatan kereta api setelah harga bahan api diesel dinaikkan, langkah ini amat lemah dan tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

“Kerana perkhidmatan kereta api yang ada sekarang cuma berfungsi dari Padang Besar-Kuala Lumpur-Gemas sahaja.

"Gemas-Johor Bahru masih dalam penambahan landasan kedua dan belum siap serta perkhidmatannya tidak sekerap dahulu,” ujarnya.

Ulas Rosli, perkhidmatan kereta api amat terhad dan tidak meliputi seluruh negara termasuk Sarawak serta Sabah.

“Bagaimana dengan mereka yang tinggal di kawasan tidak mempunyai perkhidmatan kereta api?” soalnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!