Mohd Azrul Hafiz penyambung generasi rempah-ratus sejak 70 tahun
KOTA BHARU - Seorang peniaga rempah-ratus di Pasar Siti Khadijah di sini mungkin tidak asing lagi dalam kalangan pelanggan dan peminat rempah-ratus di Kelantan berikutan kebolehannya menggabungkan bahan penyedap makanan yang diminta mereka.
Mohd Azrul Hafiz Zakaria, 41, merupakan generasi ketiga yang mewarisi pembuatan rempah-ratus asli daripada keluarganya sejak lebih 70 tahun lalu.
Uniknya juga, anak sulung daripada tiga beradik itu sangat mahir mencampurkan kira-kira 20 rempah-ratus sedia ada bagi menghasilkan rasa enak masakan pelanggan yang kebanyakannya merupakan golongan wanita.
"Saya banyak mempelajari kaedah pembuatan dan campuran rempah daripada nenek dan datuk di sebelah ibu serta bapa.
"Mereka turut mengajar saya membuat campuran rempah menjadi lebih enak dan kami ada resipi rahsia turun-temurun mengikut sukatan yang sudah ditetapkan," katanya.
Mohd Azrul Hafiz mengakui pada mulanya sukar mengingati untuk mencampurkan rempah itu tetapi setiap hari melakukan perkara sama menjadikannya lebih mahir.
Bapa kepada tiga anak berusia lapan hingga 13 tahun itu turut mewarisi kebolehan ibunya, Wan Mariani Wan Ismail, 64, memasak dan banyak membantu tukang masak pada majlis kenduri di kampungnya.
"Saya tidak semahir ibu tetapi sangat teruja untuk memasak bersama penduduk kampung yang menggunakan rempah-ratus kami.
"Saya dapat mencuba gulainya dan pada masa sama boleh berusaha meningkatkan kualiti terutama rasa dan warna iaitu faktor penting dalam pembuatan rempah-ratus," katanya.
Menurut Mohd Azrul Hafiz, antara rempah yang mendapat sambutan ialah kuzi, beriani, nasi arab, nasi khomok, dalca dan perapan ayam atau kambing.
Bagaimanapun, dia tidak menang tangan melayan pelanggan setiap kali sambutan musim perayaan dan cuti umum kerana rempah-ratusnya turut menjadi pilihan pelanggan.
Katanya lagi, rempah paling laris ialah gulai kawah, campuran kari, rempah gulai kambing dan campuran rempah sup.
Berkongsi penghasilan rempah-ratusnya, lulusan Diploma Pengurusan Pelancongan di sebuah institusi pengajian tinggi itu memberitahu, pemprosesan dilakukan setiap hari selepas pulang dari berniaga.
"Biasanya saya memproses rempah pada waktu malam bagi mengekalkan rasa dan bau segar dalam setiap masakan.
"Saya akan dibantu isteri, Nor Azura Noorudin, 41, untuk mengisar campuran rempah dan dipantau ibu sambil meningkatkan pengetahuan dalam campuran bahan.
"Kami tidak menyimpan stok secara bulanan kerana mahu mengelak bau yang tidak enak dan setiap hari saya menjual kurang 100 kilogram rempah-ratus bergantung pada tempahan dan permintaan atau musim perayaan dan percutian," katanya.
Mohd Azrul Hafiz juga bersyukur kerana ramai pelanggan dari seluruh negara menempah rempah-ratusnya dan setiap hari turut sibuk dengan pengeposan bahan berkenaan.
Dia juga mengakui tidak semua individu berpuas hati namun menerima kritikan dan teguran untuk menjadi yang lebih baik.
"Kritikan itu perkara biasa dalam perniagaan dan saya tidak mengharapkan semua orang menyukainya tetapi bersyukur kerana ramai juga yang memuji campuran rempah-ratus yang saya hasilkan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!