Harga telur turun cetus permintaan tinggi, jejas bekalan sedia ada

Kerajaan sebelum ini memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat. Gambar kecil: Ka Siong
Kerajaan sebelum ini memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat. Gambar kecil: Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menurunkan harga telur ayam tiga sen sebiji bagi gred A, B dan C berpotensi mencetuskan permintaan tinggi dan bakal menjejaskan bekalan sedia ada.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, peningkatan permintaan sebanyak lima peratus sahaja mampu menyebabkan kekurangan satu juta telur daripada bekalan.

Menurut beliau, sekiranya perkara itu berlaku, krisis bekalan telur ayam akan berulang sekali gus menyebabkan kenaikan harga memandangkan bekalan tidak boleh ditingkatkan hanya dalam jangka masa pendek.

“Lagi isu telur, sudah berkali-kali saya sebut di Dewan Rakyat sejak awal 2023. Kerajaan digesa memastikan bekalan telur ayam tidak terjejas sepertimana pernah berlaku sebelum ini.

“Walaupun bekalan telur stabil dalam beberapa bulan ini, namun ia masih lagi kurang berbanding 2019.

“Ini jelas menunjukkan bahawa industri ternakan ayam masih belum pulih sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan penurunan harga runcit telur ayam selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa 17 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ka Siong berpandangan, keputusan untuk mengurangkan harga telur dikhuatiri memudaratkan rakyat.

Tambah beliau, akhirnya kerajaan terpaksa berbelanja lebih bagi mensubsidikan telur yang telah mencecah RM927 juta tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!