Warga asing serbu, monopoli agihan daging korban

Tangkap layar video tular menunjukkan warga asing dan penduduk setempat beratur di sebuah surau di bandar raya Johor Bahru untuk mengambil daging korban.
Tangkap layar video tular menunjukkan warga asing dan penduduk setempat beratur di sebuah surau di bandar raya Johor Bahru untuk mengambil daging korban.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Warga asing didakwa menyerbu lokasi pengagihan daging korban sekitar bandar raya ini hingga menyebabkan umat Islam tempatan yang layak gagal mendapatkannya.

Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia (Perimau), Mohd Ridhwan, 45, berkata, mereka datang secara berkumpulan dan membawa pulang sehingga 10 kilogram daging walaupun tinggal serumah.

"Mereka juga didapati menyebarkan maklumat pengagihan daging korban kepada rakan termasuk dari luar kawasan supaya tidak ketinggalan bagi mendapatkannya.

"Perkara ini berlaku kerana kelemahan sistem pengagihan daging korban, sepatutnya pengurusan mewujudkan sistem berkupon," katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Tular sebelum ini foto warga asing beratur bersama-sama penduduk tempatan untuk mendapatkan daging korban yang didakwa berlaku di surau dan masjid sekitar bandar raya ini.

Ridhwan berkata, kaedah tersebut bagi memastikan pengagihan lebih adil dan tiada golongan yang kurang berkemampuan ketinggalan.

Sementara itu, seorang warga bandar raya ini, Md Jian Ahmad Pariman, 52, mendakwa antara risiko dan kelemahan dalam menguruskan agihan daging korban ialah pengagihan tidak mengikut prinsip keadilan.

Menurutnya, kadang-kadang pengagihan tidak disampaikan kepada golongan kurang berkemampuan atau fakir miskin sebaliknya mereka yang tidak layak mendapatnya.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mengurangkan risiko daging korban disalah agih, pihak penganjur disaran mengamalkan sistem agihan korban yang telus, sistematik dan dapat mencapai matlamat secara amanah dan adil selaras kehendak syariah," katanya.

Seorang lagi warga bandar raya ini, Nordin Ayub, 42, berkata, ramai lagi penduduk dalam kawasan bandar raya ini yang memerlukan dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

"Sekarang ni orang yang duduk bandar macam saya, nak beli ayam atau daging pun berkira-kira kerana sudah mahal, kena tunggu awal bulan bila dapat gaji baru merasa, itupun kena tengok bajet bulan itu macam mana," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!