Operasi pembenihan awan di Kelantan Jumaat ini

Operasi pembenihan awan (OPA) akan dilaksanakan di Kelantan selama tiga hari bermula Jumaat ini. Gambar hiasan
Operasi pembenihan awan (OPA) akan dilaksanakan di Kelantan selama tiga hari bermula Jumaat ini. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Operasi pembenihan awan (OPA) akan dilaksanakan di Kelantan selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu diharap akan meningkatkan paras air Sungai Kelantan supaya dapat mengairi kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.

"Kerajaan bersetuju melaksanakan OPA susulan permohonan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan saya telah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan

Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta bagi tujuan ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, OPA adalah tindakan awal yang dilakukan kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

Malah, katanya, taburan hujan yang rendah yang dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di seluruh kawasan KADA.

"Bagi membolehkan rumah pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.90 meter, tetapi KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April 2024 lalu," jelas Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berharap usaha itu dapat segera memberikan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering, khususnya di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan ini dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

"Saya juga telah menyarankan pihak NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil OPA pada Ahad ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!