Mak Teh wujudkan 'food bank' demi bantu penduduk
KUALA KEDAH - Komuniti Food Bank Kuala Kedah di bawah Yayasan Kolaaktif akan diwujudkan bagi membantu penduduk yang kurang berkemampuan di Parlimen Kuala Kedah.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, kabin miliknya akan menjadi pusat komuniti bagi pelaksanaan pusat 'food bank' berkenaan.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mesra dengan panggilan Mak Teh itu berkata, pelbagai program akan dilaksanakan termasuklah aktiviti sumbangan dan pengajian.
"Selepas ini, ada banyak perancangan seperti bacaan al-Quran, 'food bank' dan lain-lain (di kabin).
"Maknanya selepas ini sesiapa memerlukan bahan mentah boleh datang ke sini," katanya kepada pemberita selepas agihan daging di Kabin Mak Teh, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk yang memerlukan bantuan boleh ke kabin tersebut untuk mengambil barangan diperlukan.
Katanya, usaha mewujudkan komuniti 'food bank' itu diharap dapat menanam kesedaran jiwa kepada masyarakat setempat seperti mana berlaku di Turkiye.
"(Sebagai contoh), Apabila diletak beras, dia datang ambil tetapi ambil setakat perlu sahaja.
"Kita nak tanam kesedaran dalam masyarakat supaya (walaupun) mereka ingat mereka susah, namun dalam masa sama mereka tidak tamak," katanya.
Sebelum itu, seramai 300 penerima menerima agihan daging korban anjuran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia dengan kerjasama Wasiyyah Shoppe Berhad.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!