Wang simpanan hampir RM600,000 lesap

Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM584,000 lesap akibat menjadi mangsa penipuan 'phone scam', pada Isnin. Foto hiasan
Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM584,000 lesap akibat menjadi mangsa penipuan 'phone scam', pada Isnin. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM584,000 lesap akibat menjadi mangsa penipuan 'phone scam', pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, wanita berusia 70 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai dari National Scam Response Centre (NSRC).

Katanya, individu tersebut juga mendakwa dirinya pegawai polis di sebuah negeri di utara Semenanjung.

Suspek mendakwa mangsa mempunyai rekod terlibat dengan jenayah penipuan dan satu akaun bank dibuka atas nama mangsa di negeri tersebut namun ia dinafikan wanita tersebut.

"Suspek berjaya meyakinkan mangsa untuk memberikan kesemua butiran akaun bank miliknya bagi tujuan siasatan.

"Mangsa kemudian turut mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang berjumlah hampir RM600,000 dari beberapa akaun simpanannya ke nombor akaun bank yang diserahkan itu.

"Selain itu mangsa turut diminta meletakkan kad ATM (mesin juruwang automatik) miliknya berserta nombor pin di lokasi yang diarahkan," katanya.

Tambah Kumar, pada pertengahan Jun 2024, mangsa membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang diserahkan kepada suspek berkurangan sebanyak RM584,000 dan didapati berlaku transaksi pengeluaran wang melalui ATM dan pindahan wang atas nama tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis," katanya.

Kes disiasat di bawah Kesalahan Tipu Menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Adalah diingatkan bahawa NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan berbentuk komunikasi sehala.

NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!