Bicara kes rasuah, pengubahan wang haram Wan Saiful ditangguh

Wan Saiful Foto fail Bernama
Wan Saiful Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa yang dijadualkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, ditangguhkan ke 24 Jun.

Hakim Rozina Ayob turut melapangkan tarikh perbicaraan hari ini dan esok, selepas peguam Joshua Tay yang mewakili Wan Saiful, 47, memohon penangguhan perbicaraan kes itu berikutan peguam utama Amer Hamzah Arshad, membawa ibunya ke hospital.

"Saya juga memohon supaya tarikh perbicaraan esok turut dilapangkan atas alasan isteri anak guam saya telah dimasukkan ke hospital semalam. Susulan itu, anak guam saya perlu menemani isterinya sepanjang minggu ini bagi rawatan,” kata peguam itu.

Joshua berkata, pihaknya juga telah memberikan sesalinan surat daripada pihak hospital kepada pihak pendakwaan dan mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk perbicaraan pada hari ini dan esok, namun tidak membantah permohonan penangguhan prosiding perbicaraan.

Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek terbabit.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Artikel Berkaitan:

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!