Kakitangan pejabat daerah diminta ambil berat keperluan rakyat - RMS

Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan daging korban sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling
Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan daging korban sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling
A
A
A

PETALING JAYA - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Petaling sentiasa mengambil berat keperluan rakyat yang mendapatkan perkhidmatan disediakan.

Tengku Amir Shah bertitah, penyediaan ruang menunggu lebih selesa dan luas, dilengkapi sistem penghawa dingin, bahan-bahan bacaan untuk awam dapat memberikan gambaran baik kepada rakyat apatah lagi dengan usaha warga kerjanya untuk memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat di daerah Petaling.

"Dengan peningkatan dari segi kemudahan dan perkhidmatan disediakan, beta percaya setiap urusan akan dipermudahkan dan jangka masa memproses permohonan akan menjadi lebih cepat demi memberi kepuasan kepada rakyat.

"Beta juga mahu semua pegawai dan kakitangan kerajaan berkhidmat di negeri Selangor hendaklah sentiasa bersifat mesra dan mendengar masalah yang dihadapi rakyat negeri Selangor," titah baginda.

Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Petaling
Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Petaling

Baginda berkenan melafazkan titah perasmian Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Petaling Jaya itu sebelum menandatangani plak perasmian kompleks itu sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling di sini pada Rabu.

Tengku Amir Shah bertitah, sehubungan dengan itu, pegawai daerah, pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat daerah hendaklah bekerjasama dengan Orang Besar Daerah iaitu wakil kepadaSultan Selangor di setiap daerah di Selangor supaya dapat sama-sama memajukan daerah masing-masing dan membantu mengatasi masalah dihadapi rakyat.

Titah baginda lagi, pegawai dan kakitangan kerajaan harus sedia maklum bahawa mereka adalah merupakan aset kerajaan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai dan kakitangan kerajaanlah bertanggungjawab untuk melaksanakan segala dasar yang telah digubal oleh kerajaan demi untuk kepentingan semua warga Selangor.

"Sesungguhnya bagaimana elok sekali pun sesuatu dasar telah digubal ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaannya tidak cekap dan kurang berkesan," titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah, sebagai pelaksana dasar, rakyat menaruh harapan tinggi kepada pejabat daerah.

"Oleh itu, cubalah memahami masalah dikemukakan rakyat dan berusaha menyelesaikannya dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Beta berharap segala dasar yang hendak dilaksanakan tidak akan membebankan rakyat dan dasar tersebut perlulah mendatangkan manfaat kepada rakyat," titah Tengku Amir Shah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!