654 sambungan haram dipotong untuk tingkatkan bekalan air ke UMS

Operasi yang dijalankan penguat kuasa JANS memotong sambungan haram air bagi kawasan setinggan di Sepanggar.
Operasi yang dijalankan penguat kuasa JANS memotong sambungan haram air bagi kawasan setinggan di Sepanggar.
A
A
A

KOTA KINABALU - Usaha membanteras aktiviti penyambungan haram bekalan air di sekitar Sepanggar merekodkan sebanyak 654 sambungan telah dipotong menerusi operasi yang dilaksanakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Operasi tersebut dilakukan dengan agresif terutama di kawasan setinggan yang menjadi punca Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sekitarnya menghadapi gangguan bekalan air.

Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jumlah yang direkodkan itu bermula sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Menurutnya, terdapat 12 penempatan setinggan di Sepanggar telah dijalankan operasi memotong sambungan haram bekalan air ke rumah penduduk.

"Antaranya ialah Kampung Brunei, Kampung Suang Parai, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Jaya Diri, Taman Kingfisher Sulaman dan Kampung Bahagia.

"Selain itu turut dilakukan operasi ialah Kampung Delima, Kampung Lokub, Kampung Seri Maju, Platinum Tower Jalan Sepanggar, Jalan Sulaman dan Kampung Rakyat Baru," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, sambungan paip haram secara terus di paip utama JANS itu antara punca gangguan bekalan air kepada pengguna yang berdaftar.

"Namun menerusi operasi ini telah membantu JANS untuk meningkatkan bekalan air ke UMS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Isu bekalan air di UMS mendapat perhatian hangat apabila sekumpulan mahasiswa dan orang awam melakukan perhimpunan aman #KamiMahuAir Sabah di hadapan Menara Kinabalu, pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kewujudan koloni setinggan di sekitar Sepanggar dan berhampiran UMS dipercayai punca bekalan air ke universiti tersebut terganggu apabila terdapat banyak sambungan haram dilakukan pada paip utama JANS.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!