UMNO Wilayah Persekutuan setuju terima pemimpin dipecat tapi bersyarat

Gulam Muszaffar
Gulam Muszaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO Wilayah Persekutuan bersetuju sekiranya pemimpin yang digantung diterima semula sekiranya mereka boleh memberi nilai tambah kepada parti berkenaan.

Ketua Penerangannya, Gulam Muszaffar berkata, beliau masih konsisten dengan ucapan dan pendiriannya semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun lalu.

"Dalam kehidupan semua orang tidak pernah lari daripada kesilapan termasuk dalam bidang politik dan bukannya maksum seperti nabi.

"Bak pepatah Sir Winston Churchill, dalam peperangan anda tidak boleh ada satu kesilapan pun tetapi di dalam politik anda berhak lakukan beberapa kali kesilapan kerana boleh perbetulkan keadaan berbanding peperangan anda akan mati dengan satu kesilapan sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, penerimaan pemimpin yang digantung itu penting bagi menjaga keharmonian, kestabilan dan perpaduan yang kini dirasai di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Jelas beliau, pemimpin yang akan 'disucikan' perlu akur dengan segala peraturan dan syarat-syarat yang dikenakan.

"Saya juga amat bersetuju mereka juga tidak boleh 'dictate' dengan kehendak dan kemahuan sendiri atau kem politik masing-masing.

"Berikan kuasa penuh kepada Presiden, Biro Politik Parti, Ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan Bahagian terbabit dengan isu atau masalah permohonan pemimpin yang ingin kembali ke pangkuan UMNO dan bergerak secara aktif semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Gulam berkata, pemimpin yang dipecat mestilah bermuhasabah diri dan bertaubat nasuha.

"Pemimpin yang masih menceceh, membebel, balun dan kutuk tentang parti UMNO dan 'haters' Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, biarkan mereka ibarat si luncai dengan labu-labunya," katanya.

Beliau berkata, ramai pihak meminta pandangan mengenai cadangan untuk memberi peluang semula kepada beberapa bekas pemimpin yang telah dipecat dan digantung untuk diterima semula dalam UMNO.

"Soalan yang ditujukan membuatkan saya berada dalam keadaan dilema dan pasti membangkitkan polemik berpanjangan.

"Sebab isu ini secara terus melibatkan bahagian dan personaliti tertentu yang sudah tentu tidak selesa bila diberi peluang untuk diterima semula," jelas beliau.

Gulam memberitahu, sentimen pemilihan parti lalu dan pengkhianatan masih mengimbau di pemikiran dan hati masing-masing.

"Ramai akan terguris dan berkecil hati (mungkin) ada yang setuju atau tidak dengan pandangan saya ini, tetapi kenyataan saya lebih bersifat party first," tambah beliau.

Justeru, katanya, semua pihak perlu akur bahawa politik adalah mainan angka, jika dengan kemasukan pemimpin tertentu dapat menambah angka, ia patut dipertimbangkan, begitu juga dengan sebaliknya.

"Apa pun angka politik bukan hanya untuk popularkan diri sendiri sama ada bagi rakyat atau ahli tetapi hanya dan demi parti yang kita sayangi.

"Apa pun saya percaya kebijaksanaan Presiden UMNO dan kepimpinan tertinggi parti berupaya menyelesaikan polemik dan kemelut ini dan saya akur dengan apa jua keputusan pucuk pimpinan," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan bahawa beliau sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya, namun sehingga kini masih dipandang sepi.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin UMNO telah digantung dan dipecat antaranya adalah Tajuddin; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!