Penuntut KPJU perkenal Hari Kaamatan, Gawai kepada komuniti

Persembahan tarian etnik Sabah dan Sarawak.
Persembahan tarian etnik Sabah dan Sarawak.
A
A
A

SHAH ALAM - Penuntut East Malaysian Student Society (EmaSS) KPJ Healthcare University (KPJU) Nilai, mengambil inisiatif menyambut perayaan Hari Kaamatan dan Gawai bagi membolehkan komuniti setempat mengenali kebudayaan dan adat istiadat Sabah dan Sarawak.

Program Harvest Gala yang diadakan di Kipmall Kota Warisan, Sepang itu bertemakan 'From field to feast' bertujuan mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini.

Penuntut Diploma Kejururawatan KPJU, Debbykrishna Samidol berkata, program itu disertai penuntut dari Borneo dan Semenanjung KPJU termasuk komuniti setempat di sekitar Kota Warisan dan Sepang.

Permainan menampi beras bersama pengunjung.
Permainan menampi beras bersama pengunjung.

"Secara umumnya, tujuan utama perayaan ini adalah untuk mengingati dan menghormati semangat padi sejak dari nenek moyang lagi.

"Selain itu, dengan adanya perayaan ini, penuntut dari Borneo dapatlah merasai suasana dan mengubati rindu untuk meraikan Hari Kaamatan dan Gawai seperti di kampung," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Perayaan Hari Kaamatan dan Gawai disambut oleh etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di Sabah, manakala Dayak di Sarawak.

Perayaan Kaamatan disambut setiap tahun pada 30 dan 31 Mei, manakala 1 dan 2 Jun Hari Gawai.

Artikel Berkaitan:

Penasihat program, Haizulyadi Anwar berkata, kos tiket penerbangan tinggi menjelang hari perayaan menyebabkan ramai penuntut dari Borneo tidak pulang ke kampung masing-masing bagi meraikan sambutan itu.

"Sehubungan itu, kita membawa penuntut yang tidak pulang ke Borneo untuk kita meraikannya bersama-sama dengan komuniti setempat.

"Kita ingin memperkenalkan keunikan tradisi di Borneo kepada penduduk di Semenanjung terutamanya penduduk sekitar Kota Warisan dan Sepang," jelas beliau.

Seorang pengunjung Ainin Sofea Sabri pula menyifatkan program itu menjadi medium terbaik bagi memperkenalkan budaya Borneo.

"Sebagai seorang anak kelahiran Sarawak dan suami pula dari Sabah, saya amat menyokong aktiviti seperti ini untuk meraikan perbezaan budaya di negara kita.” ujarnya.

Ahli Jawatankuasa penganjur dan sebahagian pengunjung bergambar pada program Harvest Gala KPJU Nilai di Kipmall Kota Warisan, Sepang.
Ahli Jawatankuasa penganjur dan sebahagian pengunjung bergambar pada program Harvest Gala KPJU Nilai di Kipmall Kota Warisan, Sepang.

Sementara itu, Pengurus Program, Rhikealson Rico Ak Lezson berkata, program itu merupakan sambutan kedua diadakan namun julung kali diadakan di luar kampus.

Menurut beliau, program itu mempunyai kelainan berbanding tahun lalu dan turut dimeriahkan dengan sketsa, tarian tradisional etnik Borneo, dendangan lagu dan pertunjukan fesyen busana tradisional Sabah dan Sarawak.

"Beberapa permainan termasuk permainan tradisi seperti Batak Lampung juga dipamerkan.

"Konsep hiasan pula berkonsepkan ruai rumah panjang dengan pokok ranyai di tengah-tengah tempat acara," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!