Mangsa terakhir bot karam di Balaga ditemukan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SIBU - Mangsa terakhir insiden bot karam di Jeram Long Menjawah, Belaga, Ahad lepas ditemukan lemas pada Rabu kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 8.22 pagi memaklumkan mayat Rhuban Apparoo telah ditemukan oleh orang awam.

"Pasukan bomba bergerak ke lokasi mangsa yang berusia 30 tahun ditemukan iaitu di hilir Rh Kejaman Neh Long Liten, sejauh 18 kilometer dari lokasi bot karam dengan menaiki bot pihak polis untuk mengambil mayat itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut jurucakap itu mayat Rhuban dibawa ke pangkalan bot Belaga dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Selain pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Belaga, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga hari ini turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak.

Pada Ahad, empat pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan Empangan Bakun dikatakan menyewa sebuah bot yang dikemudi oleh seorang penduduk kampung untuk tujuan bersiar-siar namun kira-kira 4.30 petang, bot itu karam akibat arus deras di Jeram Menjawah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!