Syafiq Yusof dipelawa buat penggambaran Sheriff 2 di Negeri Sembilan

Syafiq Yusof dipelawa membuat penggambaran Sheriff 2 di Negeri Sembilan.
Syafiq Yusof dipelawa membuat penggambaran Sheriff 2 di Negeri Sembilan.
A
A
A

PORT DICKSON - Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon mempelawa pengarah filem, Syafiq Yusof membuat penggambaran Sheriff 2 di negeri ini.

Beliau berkata, industri perfilemen mampu menaikkan nama Negeri Sembilan menerusi lokasi-lokasi menarik yang ditonjolkan.

"Saya secara terbuka menjemput Syafiq untuk membuat penggambaran filemnya di negeri ini, mungkin beliau boleh buat penggambaran filem Sheriff 2.

"Saya ada baca yang legenda industri filem Hong Kong, Eric Tsang berminat nak bekerjasama dengan Syafiq untuk Sheriff 2.

"Jadi, saya mempelawa beliau untuk pilih Negeri Sembilan sebagai lokasi penggambaran seterusnya," katanya dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Nicole Tan Lee Koon
Nicole Tan Lee Koon

Beliau berkata, terdapat pelbagai lokasi menarik boleh ditonjolkan dan ia sebagai salah satu bentuk promosi kepada negeri ini.

Jelasnya lagi, pelawaan berkenaan turut terbuka kepada pengarah-pengarah filem lain dan ia selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Artikel Berkaitan:

"Ia seperti mana pengarah filem Bollywood, Yash Chopra yang berjaya melonjakkan pelancongan di Switzerland di seluruh dunia menerusi paparan tempat menarik di negeri itu di dalam filem-filemnya.

"Saya harap peranan sama dapat dimainkan oleh pengarah filem di negara ini," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran seramai 8 juta pelancong tahun ini termasuk dari negara Asia Barat.

Nicole berkata, sasaran itu mengambil kira kehadiran pelancong sebelum berlakunya Covid-19 iaitu pada tahun 2018 (7.86 juta) dan 2019 (6.43 juta).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!