Kaji semula cadangan lantik lebih banyak syarikat AP Terbuka - PEKEMA

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) mencadangkan supaya cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat permit import (AP) Terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, pihaknya bimbang sekiranya syarikat dilantik tidak mempunyai pengalaman mencukupi, ia boleh mengakibatkan kerugian besar kerana kenderaan terpakai mempunyai kadar susut nilai yang tinggi.

“PEKEMA bimbang sekiranya tiada pengalaman, ini boleh mengakibatkan syarikat mengalami kerugian kerana kereta ‘recond’ ada susut nilai yang ketara.

"Sehubungan itu, kami mencadangkan supaya cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuka peluang kepada syarikat bumiputera yang tidak pernah menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan untuk memohon AP Terbuka.

Inisiatif yang berkuat kuasa 1 Julai depan dijangka menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif dan pertambahan jumlah penyertaan berpotensi menjadikan segmen terbabit lebih kompetitif serta berdaya saing.

MITI memaklumkan, syarat utama dikenakan kepada syarikat yang berminat adalah berstatus sendirian berhad, pemilikan 100 peratus bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazari berkata, jumlah syarikat yang diberi AP Terbuka perlu dikawal dengan ketat dan rapi bagi memastikan industri automotif di negara ini kekal berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, beberapa perkara utama perlu diberi penekanan agar pelaksanaan dasar itu mampu membawa manfaat sepertimana yang diharapkan.

Menurutnya, keutamaan wajar diberikan kepada pemain industri yang telah menunjukkan keupayaan dan pengalaman dalam bidang berkenaan.

"Jumlah syarikat yang diberi AP Terbuka perlu dikawal rapi untuk memastikan industri automotif kekal kompetitif bagi mengelakkan lambakan syarikat yang mungkin tak berdaya saing dalam pasaran.

“Pemilihan yang teliti wajar dilakukan untuk supaya hanya syarikat yang mampu menyumbang perkara positif kepada industri automotif diberi peluang, dengan menekankan kualiti berbanding kuantiti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!