Mohamad Yusuf tak serik sembelih haiwan korban

Mohamad Yusuf (kiri) ketika diziarahi Pengerusi JPKK Tanjung Baru, Nasaruddin Talib (tengah) dan Pengerusi JPKK Kg Gerdong, Che Ibrahim Othman (kiri) ketika dirawat di HSNZ.
Mohamad Yusuf (kiri) ketika diziarahi Pengerusi JPKK Tanjung Baru, Nasaruddin Talib (tengah) dan Pengerusi JPKK Kg Gerdong, Che Ibrahim Othman (kiri) ketika dirawat di HSNZ.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketua Pemuda Pas Telemong tidak serik untuk kembali menunaikan tugas menyembelih haiwan korban biarpun betis kanannya cedera tertusuk pisau sembelihan dalam kejadian pada pagi Hari Raya Aidiladha Isnin lalu.

Mohamad Yusuf Abdullah, 34, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan telah menjalani pembedahan pada malam Selasa.

Abangnya, Mohd Faizul Abdullah, 39, berkata, adiknya itu dimasukkan ke dewan bedah selama tiga jam untuk menerima rawatan bagi menjahit semula kecederaan sedalam lebih satu inci dan panjang kira-kira empat inci.

"Kami sekeluarga bersyukur sebab keadaan dia beransur pulih selepas luka yang dialami dijahit semula dan dia kini kelihatan ceria.

"Apa yang membuatkan kami tersentuh ialah semangatnya tidak serik untuk kembali menunaikan tugas sekiranya diminta untuk menyembelih haiwan korban selepas ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Rabu.

Mohamad Yusuf ketika dikejarkan ke hospital selepas cedera pada betis kanan terkena pisau sembih.
Mohamad Yusuf ketika dikejarkan ke hospital selepas cedera pada betis kanan terkena pisau sembih.

Menurut Mohd Faizul, adiknya yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu telah lebih 10 tahun berpengalaman dalam menguruskan haiwan korban.

"Sudah menjadi rutin setiap kali Aidiladha, adik saya akan dijemput untuk menyembelih korban di beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang dia menguruskan haiwan korban, ini kali pertama berdepan insiden begini sehingga menyebabkan kecederaan.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kejadian yang berlaku dalam kawalan dan adik saya segera dikejarkan untuk menerima rawatan di hospital," ujarnya.

Isnin lalu, Mohamad Yusuf cedera pada betis kanan akibat terkena pisau ketika menyembelih seekor lembu korban di Kampung Matang, dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Kejadian berlaku jam 9.30 pagi itu tidak diduga apabila lembu korban yang ingin disembelih tiba-tiba meronta menyebabkan pisau dipegang Mohamad Yusuf tertusuk pada betisnya.

Difahamkan, lembu tersebut adalah lembu kedua yang akan disembelih selepas Mohamad Yusuf selesai menyempurnakan ibadah korban terhadap seekor lembu pertama pada pagi Aidiladha itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!