Jemaah haji hilang di Mina sejak tiga hari lalu ditemui selamat

Salleh yang dilaporkan hilang di Mina sejak Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat.
Salleh yang dilaporkan hilang di Mina sejak Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang jemaah haji dari Puncak Alam di sini yang dilaporkan hilang di Mina sejak Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat.

Salleh Hassan, 61, sebelum ini gagal dikesan selepas dilaporkan hilang di Mina kira-kira jam 9 malam waktu tempatan pada Ahad.

Anaknya, Mohamad Khairul Asyraf, 28, berkata, mutawif tempatan menghubunginya memaklumkan bapanya itu dijumpai kira-kira jam 3 petang pada Rabu.

"Saya baru dimaklumkan (mutawif) bahawa ayah ditemui dalam keadaan selamat di sebuah hotel di Masjidil Haram," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohamad Khairul berkata, dia masih menanti panggilan daripada bapa dan ibunya, Kamsiah Nawin, 56, yang turut mengerjakan ibadah haji.

"Mungkin ibu sedang sibuk di sana dan akan memaklumkan tentang perkembangan ayah dalam waktu terdekat," ujarnya.

Mohamad Khairul memberitahu, bapanya sebelum ini hilang selepas keluar bersendirian untuk melontar jamrah di Mina.

Anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu, bapanya itu kemudiannya berpatah semula ke hotel penginapan menaiki teksi selepas mengadu tidak larat.

Artikel Berkaitan:

"Ayah kemudiannya ke Mina semula, namun selepas itu dia gagal dikesan disebabkan jemaah haji terlalu ramai.

"Alhamdulillah, akhirnya saya bersyukur ayah ditemui dalam keadaan selamat dan akan terus memantau perkembangannya dari semasa ke semasa," tambahnya.

Sebelum ini, seorang jemaah haji turut dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk melontar jamrah di Mina, ditemukan dalam keadaan lemah di lokasi berhampiran.

Mohd Basharudin Shah, 60, dilaporkan hilang oleh mutawif pada jam 7.15 pagi Selasa waktu Malaysia, bagaimanapun telah dijumpai semula dengan duit serta telefon bimbitnya hilang.

Lelaki itu ditemui seorang jemaah kira-kira jam 1.15 pagi Rabu, waktu Malaysia sebelum dibawa ke Hotel Al-Refa Al- Sud untuk berehat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!