Dua pasang suami isteri tak mengaku simpan harta rompak milik Kieda Crepe

Keempat-empat tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu.Gambar kanan: Muhammad Ezwan dan Muhammad Affizan juga tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Keempat-empat tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu.Gambar kanan: Muhammad Ezwan dan Muhammad Affizan juga tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Dua pasang suami isteri dituduh menyimpan harta rompak milik usahawan pencuci mulut di Mahkamah Sesyen 2 di sini pada Rabu.

Tertuduh, Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27; Nurul Hidayah Mahat, 24; Endang Nur Nabila Suriana Mahat, 22 dan Muhammad Affizan Abdullah, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Muhammad Ezwan dan Nurul Hidayah merupakan suami isteri manakala Endang Nur Nabila adalah isteri kepada Muhammad Affizan.

Nurul Hidayah dan Endang Nur Nabila dibawa ke Mahkamah Sesyen 2 untuk dituduh secara bersama melakukan rompakan berkumpulan pada April lalu.
Nurul Hidayah dan Endang Nur Nabila dibawa ke Mahkamah Sesyen 2 untuk dituduh secara bersama melakukan rompakan berkumpulan pada April lalu.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka secara bersama-sama dengan niat curang telah menyimpan harta iaitu seutas gelang tangan seberat 27.95 gram, seutas rantai leher gantung 'love high polish' (130.56 gram), seutas rantai tangan gantung 'love high polish' (84.64 gram) dan seutas rantai leher (4.50 gram) kepunyaan Siti Nur Khalieda Yusra.

Mereka didakwa melakukan perkara itu dengan sebab mempercayai harta tersebut telah dipindahkan dengan jalan rompakan berkumpulan.

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Kampung Aman, Pokok Sena, Kepala Batas pada jam 9 malam, 25 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Oleh demikian, kesemua mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mohammad Syafiq tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh di atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah jenayah yang tidak boleh dijamin.

Muhammad Ezwan, Nurul Hidayah, Endang Nur Nabila dan Muhammad Affizan diwakili peguam Harjeet Singh Sidhu.

Bagaimanapun, ketika prosiding, Harjeet tidak hadir, namun diwakili Ranjit Singh Sandhu.

Ranjit dalam rayuannya memohon agar mahkamah membenarkan jaminan kepada kesemua anak guamnya.

Beliau bagaimanapun memohon jaminan minimum diberikan berikutan tiga daripada tertuduh menghidap penyakit serius.

"Saya memohon, dengan budi bicara mahkamah membenarkan mereka diberi jaminan, namun (jaminan) yang rendah.

"Ini kerana Muhammad Ezwan hanya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM1,200 sebulan dan isterinya, Nurul Hidayah tidak bekerja.

"Mereka mempunyai dua orang anak yang masih kecil berusia 7 tahun dan sembilan bulan, manakala Nurul Hidayah menghidap kencing manis kronik yang memerlukan suntikan insulin," katanya.

Ranjit menambah, Endang Nur Nabila juga menghidap penyakit kencing manis kronik dan mempunyai seorang anak.

"Endang Nur Nabila tidak bekerja manakala suaminya, Muhammad Affizan pula, hanya bekerja sebagai pekerja landskap secara separuh masa dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

"Muhammad Affizan juga menghidap penyakit asma. Oleh demikian, saya mohon satu jaminan yang minimum terhadap keempat-empat tertuduh," katanya.

Susulan daripada rayuan tersebut, Noor Aini memohon Ranjit mengemukakan laporan kesihatan bagi ketiga-tiga anak guamnya itu.

Noor Aini kemudiannya menetapkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Beliau juga memberi tiga syarat tambahan iaitu keempat-empat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mendekati atau menghubungi mangsa atau saksi sepanjang perbicaraan dijalankan.

"Sekiranya tertuduh tidak mempunyai pasport antarabangsa, mahkamah akan mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia supaya tidak mengeluarkan pasport kepada mereka sehingga proses perbicaraan tamat," tambah Noor Aini.

Kes ditangguhkan sehingga 19 Julai untuk serahan dokumen.

Sementara itu, kelihatan Siti Nur Khalieda Yusra atau dikenali sebagai Kieda Crepe dan suaminya, Mohd Hilmy Mohd Zaki hadir di mahkamah untuk mengikuti pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh.

Dia kelihatan tenang di samping suami dan kakak iparnya, malah sempat menegur sambil tersenyum kepada wartawan yang hadir membuat liputan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang usahawan mengalami kerugian sehingga RM800,000 apabila rumahnya di Kepala Batas telah dipecah masuk penjenayah pada April lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!