Peningkatan Hon Jian-Haikal tembusi 20 teratas dunia perkembangan positif - Rexy

Hon Jian-Haikal mendaki lapan anak tangga untuk menduduki ranking ke-20 dunia, iaitu kedudukan terbaik dalam karier. - Foto: Agensi
Hon Jian-Haikal mendaki lapan anak tangga untuk menduduki ranking ke-20 dunia, iaitu kedudukan terbaik dalam karier. - Foto: Agensi
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu gandingan beregu lelaki pelapis dan junior negara mengikuti langkah Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang memperagakan aksi baik di beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini.

Beregu muda yang berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Australia minggu lepas dan suku akhir Terbuka Thailand bulan lepas dalam empat kejohanan yang disertai sejak Mei menyaksikan mereka mendaki lapan anak tangga untuk menduduki ranking ke-20 dunia, iaitu kedudukan terbaik dalam karier.

Hon Jian, 23, dan Muhammad Haikal, 21, yang tersingkir pada pusingan kedua Masters Malaysia bulan lepas dan pusingan pertama Terbuka Indonesia awal bulan ini berada pada kedudukan kelima di Malaysia selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik (nombor 5 dunia), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (13), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (16) dan beregu professional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (18).

Rexy melihatnya sebagai perkara yang cukup positif bagi kem negara apabila lebih tiga wakil ABM boleh beraksi di kejohanan tahap tinggi seperti Jelajah Dunia Super 500, 750 dan 1000.

"Kita kini ada tiga beregu senior dan tiga junior yang mampu beri cabaran dalam kejohanan 500 dan ke atas, persaingan dalam lapangan cukup positif.

"Kita harapkan beregu junior seperti Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King dan Kang Khai Xing-Aaron Tai juga lebih berusaha (untuk meningkatkan prestasi mereka),” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi latihan di ABM di sini hari ini.

Rexy berkata, pihaknya juga belum membuat keputusan sama ada Hon Jian akan fokus dalam acara beregu lelaki atau beregu campuran apabila menduduki ranking ke-40 beregu campuran dunia menerusi gandingan bersama Go Pei Kee.

Beliau berkata, pemain berasal dari Bukit Mertajam itu pernah berbincang dengan jurulatih beregu campuran kebangsaan Nova Widianto mengenai perkara itu, namun keputusan dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini selepas menilai perkembangan prestasinya dan acara yang lebih dominan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rexy turut menuntut Hon Jian-Muhammad Haikal untuk beraksi dengan lebih serius dan agresif apabila bertembung dengan beregu utama dunia, berdasarkan prestasi ketika tewas 18-21, 10-21 kepada beregu nombor lapan dunia dari China He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada separuh akhir Terbuka Australia, Sabtu lepas.

"Mereka banyak bermain-main, kesilapan mereka ketika mendahului 16-14 (pada set pertama) adalah tidak berikan tekanan kepada beregu China, padahal mereka main agresif untuk dapatkan banyak mata. Hon Jian-Muhammad Haikal main terlalu selamat, berikan beregu China kesempatan untuk tekan mereka,” jelasnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!