UiTM kenal pasti program pengajian sedia ada untuk dijadikan TVET sepenuhnya

UiTM telah mengenal pasti kira-kira 40 program yang mempunyai unsur separa TVET serta mempunyai sukatan pelajaran teknikal yang berpotensi dijadikan TVET sepenuhnya. Gambar hiasan (Gambar kecil: Raduan)
UiTM telah mengenal pasti kira-kira 40 program yang mempunyai unsur separa TVET serta mempunyai sukatan pelajaran teknikal yang berpotensi dijadikan TVET sepenuhnya. Gambar hiasan (Gambar kecil: Raduan)
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang mengenal pasti beberapa program pengajian sedia ada untuk diperkasakan menjadi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sepenuhnya, kata Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.

Beliau berkata, inisiatif diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Profesor Datin Dr Suzana Sulaiman itu setakat ini telah mengenal pasti kira-kira 40 program yang mempunyai unsur separa TVET serta mempunyai sukatan pelajaran teknikal yang berpotensi dijadikan TVET sepenuhnya.

"... ini antara usaha yang sedang kita lakukan di UiTM bagi memperkasakan bidang teknikal itu, seiring usaha mengarusperdanakan TVET negara yang dilaksanakan kerajaan.

"Langkah yang dilaksanakan UiTM juga bertujuan mewujudkan kursus TVET yang berkualiti untuk disertai oleh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang ke arah menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ibadah Korban dan Akikah peringkat UiTM di sini hari ini.

Raduan berkata, langkah itu juga bagi memastikan TVET tidak dilihat sebagai pilihan kedua sebaliknya setara dengan bidang akademik lain yang ditawarkan kepada lepasan sekolah menengah sebagaimana yang dihasratkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara dilaporkan berkata Malaysia perlu bergerak ke arah menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama lepasan sekolah menengah seiring keperluan negara dalam menyediakan lebih banyak tenaga kerja mahir atau berketerampilan bagi memenuhi keperluan sektor pekerjaan pada masa akan datang.

Raduan yang juga Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) berkata UiTM juga telah menubuhkan satu jawatankuasa dianggotai pakar akademik dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengenal pasti punca keciciran lebih 10,000 calon SPM 2023.

Beliau berkata, hal itu merupakan satu masalah kepada negara dan UiTM mengambil tanggungjawab mencari penyelesaian bersama pihak berkaitan demi memastikan masa depan kelompok pelajar berkenaan tidak terjejas.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Mei lepas, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan melaksanakan intervensi mengesan calon tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki SPM secara ulangan selepas sebanyak 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 dilaporkan tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Berkaitan isu segelintir pelajar institut pengajian tinggi di Lembah Klang termasuk UiTM yang dilaporkan sanggup mengambil risiko dengan menawarkan perkhidmatan prebet sapu menggunakan kenderaan persendirian tanpa lesen vokasional kenderaan perkhidmatan awam (PSV), Raduan berkata pihaknya menasihati mahasiswa yang terlibat dengan kerja sambilan itu supaya melakukannya berdasarkan lunas undang-undang.

"Memang kita ada terima laporan tetapi hanya libatkan jumlah yang kecil. Jadi, saya ambil kesempatan untuk menyeru pelajar kita melakukan dalam lunas perundangan negara dengan mendapatkan lesen PSV bagi mengelakkan mereka disabitkan dengan kesalahan undang-undang," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!