Jual RON95 kepada warga asing, pengusaha stesen minyak berdepan denda RM1 juta
ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka membuka satu kertas siasatan berhubung gambar tular sebuah stesen minyak di negeri ini disyaki menjual petrol bersubsidi RON95 kepada warga asing.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pihaknya menerima gambar di media sosial pada Ahad lalu yang memaparkan sebuah kenderaan warga asing sedang mengisi petrol berkenaan di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah lebih kurang jam 4.35 petang.
Menurutnya, alasan pengusaha stesen minyak wanita berusia 30-an itu bahawa pam petrol yang diisi individu tersebut agak terselindung tidak boleh diterima.
Ini kerana, katanya, mereka sepatutnya boleh memantau setiap pengisian minyak menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan.
Katanya, tindakan warga asing dianggarkan dalam lingkungan 30-an sedang mengisi minyak menggunakan kereta jenis Toyota Prius telah ditegur seorang pemandu e-hailing sebelum individu terbabit kemudian tergesa-gesa meninggal stesen minyak itu.
"Kita terus buka kertas siasatan untuk membuat pertuduhan sebab semua pengusaha dan pekerja stesen minyak telah tahu bahawa larangan pembelian oleh kenderaan nombor pendaftaran warga asing tidak dibenarkan membeli RON95.
"Semua stesen minyak ada notis larangan tersebut yang telah berkuatkuasa pada 17 Jun 2022, jadi tak ada isu pengusaha atau pekerja tidak tahu," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Masjid Tanah di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Norena berkata, hasil semakan CCTV juga mendapati, lelaki warga asing itu membuat bayaran pengisian minyak RON95 berjumlah RM23.17 menggunakan kad prabayar.
Ujarnya, ini merupakan kes pertama yang dilaporkan di negeri ini dan tindakan dijalankan mengikut Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Katanya, jika disabit kesalahan, pengusaha stesen minyak tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"KPDN Melaka memberi amaran keras kepada semua pengusaha stesen minyak di seluruh negeri ini agar mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan," katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!