[VIDEO] Kekosongan DUN Nenggiri: Bukti perlembagaan Bersatu ikut undang-undang

A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukti pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah teratur dan mengikut kehendak undang-undang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah susulan notis yang dihantar oleh Bersatu berhubung terhentinya keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri secara serta-merta kerana telah melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

“Keputusan Speaker DUN Kelantan ini adalah selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN wakil rakyatnya telah terhenti keahlian partinya secara serta-merta.

“Peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang anti lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Muhyiddin
Muhyiddin

Sebelum ini media melaporkan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu.

Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Bersatu bersama anggota Perikatan Nasional bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, YB Dato' Mohd Ammar Nik Abdullah yang telah mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Nenggiri.

“Insya-ALLAH dengan izin ALLAH SWT dan dukungan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!