[VIDEO] 'Syukur nama terpilih, nak buat korban sendiri tak mampu'

A
A
A

KUANTAN - ''Syukur nama saya terpilih mengerjakan ibadah korban tahun ini, kalau nak buat sendiri memang tidak mampu," kata seorang penghuni Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di sini.*

Tujuh penghuni rumah kebajikan orang tua terpilih menjadi peserta ibadah korban pada tahun ini.
Tujuh penghuni rumah kebajikan orang tua terpilih menjadi peserta ibadah korban pada tahun ini.

Warga emas, Yusof Mat, 70, antara tujuh penghuni rumah kebajikan itu yang namanya terpilih menjalani ibadah korban selepas sebuah syarikat swasta, Rasnur Travel and Tours sedekahkan seekor lembu.

Yusof
Yusof

"Kami tidak boleh buat sendiri korban sebab tiada kemampuan, jadi bila ada yang macam ini (memberi sedekah haiwan), kami ucapan terima kasih banyak-banyak.

"Mungkin (pada) tahun akan datang ada lagi rezeki dan kami harap tidak (terus) dipinggirkan," katanya ketika ditemui di Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di Tanah Putih di sini pada Rabu.

Seekor lembu telah disedekahkan oleh sebuah syarikat swasta kepada rumah kebajikan itu dan tujuh penghuni dipilih untuk menjadi peserta korban pada tahun ini.

Senada dengan itu, Wan Mohamed Wan Muda, 70, pula menyuarakan rasa terharu kerana ada pihak yang sudi sedekahkan ternakan untuk mereka merasai ibadah korban tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohamed
Wan Mohamed

"Rasa terharu sebab tidak pernah dapat seperti ini. Kalau hendak buat kena keluar duit sendiri, tapi ia percuma bagi untuk kami orang-orang tua di sini, Alhamdulillah," luahnya dengan nada gembira.

Nizam Mamu, 60, berkata, ini kali pertama merasai nikmat menjalani ibadah korban pada tahun ini.

Nizam
Nizam

"Saya suka, sebelum tidak pernah lagi, ini pertama kalilah. Terima kasih yang bagi sedekah itu pada pihak kami," katanya.

Pengerusi Rumah Kebajikan tersebut, Muhammad Fauzi Ramli turut memaklumkan ini pertama kali mereka menerima sumbangan sedemikian.

"Bila dapat tahun ada pihak sedekah lembu, kami sangat terharu kerana dalam beberapa tahun rumah kebajikan beroperasi ini kali pertama orang beri (ternakan) untuk (dijadikan) ibadah korban," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Mutawwif Rasnur Travel and Tours, Abdul Ghani Abdul Rahman, 50, berkata, pihaknya menyumbangkan seekor lembu kepada tujuh penghuni di rumah jagaan terbabit bagi memberi kegembiraan kepada mereka.

Menurutnya, kebiasaannya orang ramai menyedekahkan daging lembu yang sudah diproses, berbanding memberi peluang kepada warga emas terbabit merasai sebagai seorang peserta dalam ibadah korban.

Abdul Ghani (tengah) bersama wakil rumah kebajikan dan penduduk setempat yang terlibat dalam program ibadah korban pada Rabu.
Abdul Ghani (tengah) bersama wakil rumah kebajikan dan penduduk setempat yang terlibat dalam program ibadah korban pada Rabu.

Jelasnya, kelainan ini diberikan perhatian oleh pihaknya kerana tiada ramai yang ingin berbuat demikian.

"Kita yakin ini merupakan pembuka jalan kepada sahabat kita yang lain untuk sama-sama mengambil perhatian atau cakna kepada warga tua di rumah jagaan di sekitar kuantan yang boleh kita sedekah haiwan ternakan untuk dijadikan korban," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!