Ustaz Don mohon maaf beri jawapan keliru isu puasa pada Aidiladha

Ustaz Don
Ustaz Don
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.

Don Daniyal atau dikenali sebagai Ustaz Don mengakui jawapan yang diberikan di sebuah stesen radio itu telah menimbulkan salah faham.

“Saya minta maaf sebab menjawab dalam keadaan mengelirukan, minta maaf banyak-banyak. Semoga ALLAH SWT mengampunkan dosa kita semua.

“Jawapan yang betul, Hari Raya Aidiladha tidak boleh puasa dan pada hari Tasyrik juga, termasuk sekali hari raya kedua, ketiga dan keempat iaitu bersamaan 11, 12 dan 13 Zulhijjah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, tular di media sosial berikutan Ustaz Don menjawab soalan daripada salah seorang pendengar di sebuah stesen radio berhubung ibadah puasa pada hari raya pertama Aidiladha.

Ustaz Don memberi jawapan ringkas bahawa diharamkan untuk berpuasa pada hari raya pertama sama ada pada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha.

Jawapan tersebut telah menimbulkan kekeliruan masyarakat berikutan umat Islam turut tidak boleh berpuasa pada hari Tasyrik.

Mengulas lanjut, Ustaz Don menjelaskan bahawa jawapan yang diberikan itu hanya berdasarkan pertanyaan boleh atau tidak berpuasa pada hari raya pertama sahaja.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar video yang dimuat naik Don Daniyal di Facebook pada Rabu.
Tangkap layar video yang dimuat naik Don Daniyal di Facebook pada Rabu.

“Soalan tersebut ditanya, ustaz boleh puasa atau tidak pada hari raya Aidiladha? Jadi masa saya rakam, kami tanya ini hari raya pertama sahajakah? Dia kata ya dan jawapan bagi ringkas.

“Jawapan yang panjang sepatutnya Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri pertama tidak boleh puasa.

“Aidilfitri kedua, ketiga dan keempat baru boleh puasa, ia berbeza dengan Hari Raya Aidiladha tidak boleh puasa kerana ada hari Tasyrik. Jadi, apabila jadi begitu, panjang huraian dia. Saya minta maaf sebab jawab mengelirukan,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa haram berpuasa pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah bersamaan dengan 18, 19 dan 20 Jun 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!