Pelancong Singapura teruja sertai ibadah korban di Rembau
REMBAU - Kemeriahan sambutan Aidiladha di daerah ini pastinya meninggalkan kenangan manis buat 50 rakyat Singapura yang terlibat dalam program korban di Kampung Sungai Beringin, Pedas di sini pada Rabu.
Pada program berkenaan, kumpulan pelancong terbabit telah menyumbang dua ekor lembu.
Mereka turut bersama-sama bergotong-royong menjayakan program berkenaan yang julung kali diadakan.
Pelancong, Kamariah Hamdan berkata, program berkenaan meninggalkan kenangan manis kepada ahli rombongan yang rata-rata pertama kali menyertainya.
Menurutnya, dia turut berpeluang membantu memotong daging dan mengagihkan daging korban kepada penduduk dan fakir miskin.
"Ini merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan sendiri proses penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban"katanya.
Seorang lagi pelancong, Airis Elmaia, 9, menyifatkan peluang turut serta dalam program itu sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna.
"Ini kerana, saya dapat belajar erti pengorbanan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang telah saya belajar di sekolah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Warisan Negeri Sembilan, Khairulanuar Kamaruzaman berkata, penganjuran program itu dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sekali gus sebagai persiapan program Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, kehadiran pelancong berkenaan sememangnya untuk menyertai ibadah korban, namun pada masa sama mereka juga mengambil kesempatan melawat lokasi-lokasi menarik di Negeri Sembilan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!