Mila Jirin kongsi keperitan hidup dalam 'Kakak'

Mila terharu apabila karya pendek itu turut mendapat sokongan keluarga.
Mila terharu apabila karya pendek itu turut mendapat sokongan keluarga.
A
A
A

DI SEBALIK kejayaan serta kesenangan hidup yang dikecapi penyanyi dan usahawan, Mila Jirin ketika ini, ternyata banyak pengorbanan yang perlu dilakukannya sebagai anak sulung.

Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin mendedahkan, kehidupan keluarganya begitu daif suatu ketika dahulu sehingga kedua-dua ibu bapanya perlu bekerja dari siang hingga malam demi mencari rezeki biarpun adakala pendapatan diterima tidak seberapa.

"Ayah tak ada kerja tetap, mak pula kerja kilang. Hidup susah adalah perkara normal yang saya lalui. Makan nasi dengan minyak ikan atau makan nasi dengan air garam itu biasa.

“Rumah tanpa elektrik hanya lampu gasolin menemani kami. Bumbung rumah bocor bila hujan lebat mesti penuh dalam rumah dengan baldi atau periuk. Sebagai kakak sulung waktu itu dah boleh berfikir dan menyaksikan pengorbanan mak ayah dalam membesarkan kami adik beradik,” imbau Mila.

Melihat kesusahan dialami keluarga, Mila yang ketika itu sudah menginjak usia 19 tahun bertekad mahu mencari jalan keluar termasuk mengambil penuh tanggungjawab sebagai anak sulung demi mengubah nasib dirinya bersama keluarga.

Ujarnya, sebagai anak sulung, dia sanggup berkorban apa sahaja demi membantu memberi kehidupan yang lebih baik buat keluarganya.

“Sebenarnya, bila sekarang ini saya lihat semula, setiap apa ujian yang ALLAH berikan buat kami sekeluarga adalah untuk membuatkan kami jadi lebih kuat, membuatkan saya jadi kuat untuk berjuang.

“Waktu susah, hinaan dari orang sekeliling itu adalah perkara biasa yang kami terima, tetapi kata-kata hinaan itulah yang membuatkan saya memberontak untuk keluarkan keluarga dari kesusahan.

Artikel Berkaitan:

“Ketika usia saya 21 tahun, dengan izin ALLAH, saya dapat tunaikan janji dengan diri sendiri untuk hadiahkan sebuah rumah kepada mak ayah dan adik-beradik,” katanya.

Mila turut membintangi sendiri karya terbitannya bersama ahli keluarga iaitu ibu (Reena Haron), bapanya (Jirin), adik (Effa Jirin) serta anak buah beliau (Suffiya).
Mila turut membintangi sendiri karya terbitannya bersama ahli keluarga iaitu ibu (Reena Haron), bapanya (Jirin), adik (Effa Jirin) serta anak buah beliau (Suffiya).

Lantaran itu, Mila mahu mengabadikan kisah berkenaan menerusi cerita pendek berjudul ‘Kakak’ dan ditayangkan di semua platform media sosial Bizmilla Wedding Centre dan Mila Jirin.

'Kakak' adalah sebuah cerita tentang pengorbanan seorang kakak yang menyaksikan kesukaran mak dan ayah dalam membesarkan anak-anak dan mencari rezeki demi keluarga.

Kisah ini menceritakan pengalaman sebenar hidup Mila sebagai kakak sulung yang memahami kesukaran ibu bapanya dan disebabkan itu beliau membuat keputusan besar dalam hidup walaupun ia amat sedih.

Dengan keputusan itu, dia tetap berkorban demi membantu keluarga mencari rezeki bersama ibu bapanya dalam membesarkan adik-beradik.

"Tujuan utama penghasilan cerita pendek ini adalah untuk memberi inspirasi kepada semua bahawa di sebalik setiap kesulitan pasti ada kemudahan.

“Kesulitan yang kita hadapi adalah yang mengajar kita erti kehidupan sebenar dan menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk berjaya,” jelas Mila.

Cerita pendek itu ditulis oleh Mila dan diterbitkan pasukan media dari Bizmilla sebagai karya istimewa sempena Aidiladha selain diarahkan oleh Wan Ahmad Adlan serta dibantu oleh Hayati Hashim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!