Durian segar kini boleh dieksport ke China

KPKM telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China. Gambar kecil: Mohamad
KPKM telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China. Gambar kecil: Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, melalui pemeteraian tersebut, ruang pasaran eksport baharu bagi durian segar dari Malaysia ke China telah dibuka.

“KPKM yakin pelaksanaan protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63 ribu pengusaha durian di seluruh negara.

“Melalui protokol ini juga, pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam Protokol tersebut dibenarkan untuk mengeksport durian segar ke negara China,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Protokol tersebut telah dimeterai bersama Menteri GACC, Yu Jianhua dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang.

Dokumen berkenaan turut diserah terima antara Mohamad dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan yang diadakan di Putra Perdana, Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia sebelum ini telah diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011 dan durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018.

“Tambahan akses durian segar ini akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta,” ujarnya.

Menurutnya, pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion dan secara keseluruhan, buah berkenaan merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan sebanyak RM2.01 bilion.

Tambah Mohamad, China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022. Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.

Jelas beliau, mana-mana pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport durian segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan emel kepada pro@doa.gov.my dan myskim@doa.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!