Malaysia, China setuju kerjasama tingkat perdagangan rentas sempadan - Anwar

Anwar - Foto: Bernama
Anwar - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan China bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama dalam Kerjasama Jendela Tunggal untuk berbincang dan mengkaji lebih mendalam pendekatan terbaik melaksanakan kerjasama jendela tunggal, terutamanya melalui inisiatif Jendela Tunggal Nasional (NSW) yang diterajui Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama jendela tunggal antara Malaysia dan China ini boleh meningkatkan kecekapan proses perdagangan rentas sempadan melalui pendigitalan proses kawal selia perdagangan, penghapusan keperluan mengemukakan dokumentasi lewah.

Selain itu, beliau berkata, ia juga akan menggalakkan pertukaran maklumat yang lebih lancar serta tepat antara pemegang kepentingan dan rakan dagang lain.

"Usaha untuk membangunkan kerjasama jendela tunggal ini juga menyantuni aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang menekankan transformasi digital dan memudah cara perniagaan bagi merancakkan lagi ekonomi negara,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Kerjasama jendela tunggal yang dipersetujui ini dimaklumkan melalui kenyataan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Pentadbiran Am Kastam China bagi Kerjasama Jendela Tunggal dalam Perdagangan Rentas Sempadan yang ditandatangani bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China Yu Jianhua.

Anwar menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang di Perdana Putra hari ini sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup untuk membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu kepentingan bersama serantau dan antarabangsa.

Antara inti pati hasil perbincangan dua hala itu adalah komitmen Malaysia dan China untuk memperkasa serta mempelbagaikan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Pada suku pertama 2024, perdagangan Malaysia dengan China meningkat kepada RM112.28 bilion berbanding RM108.66 bilion pada tahun lalu. Ini meliputi jumlah eksport dari Malaysia ke China sebanyak RM44.5 bilion dan import dari China sebanyak RM67.78 bilion.

Malaysia lihat hubungan dengan China menerusi lensa strategik menyeluruh

Sementara itu, Anwar menegaskan Malaysia melihat hubungan dengan China bukan setakat dua hala, tetapi menerusi lensa strategik yang menyeluruh.

Beliau percaya menjadi kepentingan strategik Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, dan bukan sebaliknya.

"Kita berusaha sedaya upaya untuk melibatkan China secara diplomatik dan menyepadukannya ke dalam hal ehwal serantau kerana ia penting untuk masa depan kita bersama," katanya semasa majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China, hari ini.

Anwar berkata, hubungan perdagangan teguh yang menyaksikan China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, menunjukkan kepentingan mendalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

"Memandangkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memangkin peningkatan kesalinghubungan dan kerjasama antarabangsa, inisiatif 'Dua Negara, Taman Berkembar' memberikan rangsangan ekonomi yang luar biasa khususnya di wilayah Pantai Timur Malaysia," kata Perdana Menteri.

Selain itu, kata beliau, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) turut menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan dan penciptaan peluang pekerjaan.

"Mengukuhkan hubungan dengan China bukan tentang keuntungan jangka pendek, ia untuk menjamin kepentingan jangka panjang bagi Malaysia.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang dihormati di peringkat global, yang mana pencapaian kita bukan hanya bersifat sementara tetapi kekal bertahan hingga generasi akan datang," kata beliau.

Anwar berkata, Kerajaan Madani akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Malaysia di seluruh dunia untuk menggapai impian ini dan ia merupakan sebab mengapa hubungan dengan China dan Presiden Xi Jinping adalah luar biasa dan menonjol.

Justeru, beliau menyeru semua rakyat Malaysia serta rakan sejawat di China untuk menjadi lebih berani dan bijaksana serta mencipta era baru hubungan antara kedua-dua negara yang telah erat terjalin sejak sekian lama.

Beliau berkata, dari segi ekonomi, hari ini China menyumbang 18 peratus daripada pengeluaran ekonomi global.

Pada suku pertama 2024, perdagangan Malaysia dengan China meningkat kepada RM112.28 bilion daripada RM108.66 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perdana Menteri China, Li Qiang tiba di Malaysia pada Selasa untuk memulakan lawatan rasmi beliau ke negara ini yang akan berakhir esok. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023.

Lawatan beliau juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Penyataan Bersama antara perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En Lai pada 31 Mei, 1974.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!