100,000 permohonan Budi Madani diluluskan
PUTRAJAYA - Sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel individu (Budi individu) serta petani dan pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi) telah diluluskan Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan II, Datuk Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.
"Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, seramai 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun lalu diikuti oleh 46,000 pemohon yang menerima bayaran pada 19 Jun.
"Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai ini," jelas Amir.
Tambahnya, dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi individu manakala hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.
"Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter Bank Simpanan Nasional," katanya.
Pada masa sama Amir memaklumkan pemohonan individu yang gagal boleh mengemukakan rayuan di laman sesawang https://budimadani.gov.my.
"Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu.
"Selepas itu, mereka digalakkan mengemukakan permohonan Budi Madani sekiranya belum memohon atau mengemukakan rayuan di laman sesawang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!