PM mahu projek ECRL disegerakan

Anwar bersama Li Qiang (kiri) menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Terminal Bersepadu Gombak di sini, pada Rabu. Foto Bernama
Anwar bersama Li Qiang (kiri) menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Terminal Bersepadu Gombak di sini, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mempercepatkan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata, projek melibatkan laluan sepanjang 665 kilometer itu sangat penting dalam memastikan pertumbuhan seimbang di antara kawasan-kawasan kurang membangun, termasuk melibatkan negeri seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.

"Sebab itu saya nyatakan kepada CCCC dan MRL supaya segerakan pelaksanaan projek ini dan kita akan beri segala kerjasama supaya pesatkan pertumbuhan dan kejayaan projek ECRL.

"Kita juga minta beberapa perhatian termasuk jaminan kontraktor, perunding, pembekal dari syarikat negara dan penyertaan Bumiputera selayaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang.

Anwar berkata, keseriusan kerajaan dalam mempercepat pelaksanaan projek itu, antara lain adalah bagi menjamin pembangunan lebih merata antara kawasan-kawasan kurang membangun.

"ECRL akan menjamin pertumbuhan rantau yang dianggap ‘kurang’ dari segi persaingan dan tidak punya keupayaan bersaing, melainkan kita sediakan prasarana cukup baik. Itu akan memberikan ruang supaya kita boleh menyaksikan pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri ini,” katanya.

ECRL sepanjang 665 km yang bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan melibatkan 20 stesen iaitu 10 stesen penumpang sahaja dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.

Artikel Berkaitan:

Projek infrastruktur mega yang menjadi bukti hubungan dua hala kukuh antara Kuala Lumpur dan Beijing itu dijangka siap menjelang akhir 2026.

Sementara itu, Anwar juga mahukan supaya MRL dan CCCC memastikan penyenggaraan projek ECRL dilaksanakan dengan cekap.

"Ketua Setiausaha Tan Sri Mohd Zuki Ali (Pengerusi MRL) bertemu CCCC dan pengurusan MRL semalam untuk benar-benar memberi tumpuan kepada keperluan bagi meneruskan dan mula merancang mengenai isu operasi dan penyelenggaraan.

"Salah satu kelemahan utama projek mega besar ini ialah keperluan untuk memastikan penyelenggaraan projek ini dilaksanakan dengan cekap dan tidak mengganggu kemajuan pembinaannya," katanya.

Anwar turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mempercepatkan penyiapan projek itu.

"Saya juga berterima kasih kepada mereka terhadap usaha dalam melatih, memindahkan teknologi dan memberi peluang kepada pemain tempatan untuk didedahkan kepada teknologi terbaharu dan meningkatkan keupayaan mereka.

"Jadi sekali lagi terima kasih kepada semua profesional - jurutera, juruteknik dari China dan Malaysia. Pemimpin boleh merancang, membuat keputusan dan merangka dasar, tetapi kita mempunyai profesional yang komited, teknokrat dan pekerja seperti anda. Anda telah menunjukkan bahawa kita boleh melakukannya dengan lebih berkesan, dan dengan jayanya,” katanya.

Perdana Menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Li, terhadap perbincangan mendalam antara mereka, yang menyentuh pelbagai isu, termasuk perdagangan, pelaburan, infrastruktur, pelancongan, budaya dan pendidikan.

"Saya percaya pada kadar kepesatan kerjasama semasa, perkongsian strategik komprehensif dengan China ini adalah sesuatu yang kita sanjungi dan akan mempamerkan bagaimana Malaysia dan China boleh menjadi rakan usaha sama yang hebat dalam bidang ekonomi dan semua aspek pembangunan manusia," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!