Lebih 550 jemaah haji meninggal dunia di Makkah

Ibadah haji menjadi semakin mencabar pada setiap tahun. - Foto AFP
Ibadah haji menjadi semakin mencabar pada setiap tahun. - Foto AFP
A
A
A

MAKKAH - Musim haji pada kali ini telah merekodkan lebih 550 jemaah meningggal dunia berikutan suhu ekstrem yang mencengkam Tanah Suci Makkah.

Dua diplomat Arab yang enggan identiti mereka didedahkan memaklumkan kira-kira 323 daripada angka itu adalah jemaah warga Mesir dan sebahagian besarnya meninggal dunia kerana penyakit berkaitan strok haba.

“Hanya satu kematian disebabkan oleh insiden rempuhan,” kata salah seorang daripada diplomat tersebut yang menjelaskan data rasmi itu diperoleh daripada salah sebuah bilik mayat hospital terbesar di kawasan kejiranan al-Muaisem di Makkah.

Selain itu, sekurang-kurangnya 60 jemaah warga Jordan turut meninggal dunia, meningkat daripada angka awal diberikan Amman iaitu seramai 41 orang.

Jumlah itu, sekali gus menjadikan kematian jemaah haji 2024 secara total yang dilaporkan beberapa negara termasuk Iran, Indonesia dan Senegal mencecah 577 orang.

Terdahulu, Kementerian Luar Mesir memberitahu ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk menjejaki jemaah mereka yang hilang ketika mengerjakan Rukun Islam Kelima tersebut.

Pihak berkuasa membantu seorang jemaah yang diserang strok haba. Foto AFP
Pihak berkuasa membantu seorang jemaah yang diserang strok haba. Foto AFP

“Tidak dapat dipastikan sama ada mereka berada dalam senarai kematian itu,” ujar kementerian itu dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa kesihatan Saudi turut merawat lebih 2,000 jemaah yang diserang strok haba, namun angka itu tidak dikemaskini sejak Ahad lalu malah maklumat tentang kematian terbaharu juga tidak diberikan.

Ibadah haji menjadi semakin mencabar disebabkan fenomena perubahan iklim.

Menurut laporan penyelidikan diterbitkan Saudi pada bulan lalu, ia menjelaskan suhu di sekitar Tanah Suci telah meningkat sebanyak 0.4 darjah Celsius pada setiap dekad.

Kebanyakan jemaah yang berehat di kaki lima berisiko terdedah kepada cuaca panas melampau. - Foto AFP
Kebanyakan jemaah yang berehat di kaki lima berisiko terdedah kepada cuaca panas melampau. - Foto AFP

Pusat Meteorologi Kebangsaan di Riyadh mengesahkan suhu di Masjidil Haram telah mencecah 51.8 darjah Celsius pada Isnin lalu.

Keadaan cuaca panas terik luar biasa itu menyebabkan kebanyakan jemaah cuba menyejukkan tubuh masing-masing dengan menyiram air botol yang diagihkan sukarelawan pada kepala masing-masing.

Sebelum kemuncak ibadah haji, pihak berkuasa kesihatan tempatan turut menyarankan para jemaah supaya memakai payung dan mengambil langkah lain yang dapat mengurangkan risiko strok haba.

Tetapi, ramai jemaah dilihat tetap menghabiskan masa untuk beribadah di bawah terik mentari terutamanya ketika wukuf di Arafah pada akhir minggu lalu.

Terdapat juga laporan tentang penemuan sejumlah mayat di tepi jalan berikutan keadaan yang terlalu sesak.

'Tetamu tidak diundang'

Pada setiap tahun, pihak berkuasa Saudi berdepan dengan kehadiran 'jemaah tidak diundang' yang cuba menunaikan ibadah itu tanpa permit haji yang sah sebaliknya menggunakan visa pelancong yang didakwa jauh lebih murah.

Tindakan yang bertujuan untuk menjimatkan kos itu bagaimanapun mengancam nyawa kerana mereka tidak disediakan kemudahan berhawa dingin seperti jemaah berdaftar yang lain.

Diplomat itu menjelaskan kematian jemaah warga Mesir disebabkan oleh kehadiran sejumlah besar 'tetamu tidak diundang' yang juga dari Kaherah.

Pada awal bulan lalu, pihak berkuasa Saudi telah mengusir ratusan ribu jemaah tidak berdaftar dari Makkah sebelum musim haji bermula.

Beberapa individu cuba membantu jemaah yang rebah di tengah-tengah cuaca panas terik di Mina. - Foto AFP
Beberapa individu cuba membantu jemaah yang rebah di tengah-tengah cuaca panas terik di Mina. - Foto AFP

Menteri Kesihatan, Fahd Abdul Rahman al-Jalajel berkata, pelan haji yang direncanakan mereka pada tahun ini bagaimanapun berjaya dilaksanakan untuk mencegah penularan penyakit dan ancaman lain.

“Sebuah hospital maya menyediakan perkhidmatan kepada lebih 5,800 jemaah terutamanya untuk penyakit berkaitan strok haba yang membolehkan tindakan segara diambil bagi mengurangkan potensi peningkatan kes,” lapor Saudi Press Agency (SPA).

Rantau lain turut terkesan

Cuaca panas ekstrem bukan sahaja melanda Tanah Suci, bahkan beberapa tempat lain di seluruh dunia.

Seperti di New Delhi, gelombang haba ekstrem yang masih mencengkam India telah meragut lima lagi nyawa di ibu kota setelah ia mengalami malam paling panas dalam tempoh enam tahun.

The Times of India pada Rabu melaporkan kematian tersebut dilaporkan di hospital seluruh New Delhi sejak Isnin.

Sejak Mac lalu, suhu di ibu kota negara Asia Selatan itu dan beberapa negeri di timur meningkat kepada 50 darjah Celsius hingga meragut puluhan nyawa.

Keadaan cuaca panas melampau sama turut dilaporkan di rantau Asia Barat seperti Iraq dan beberapa bahagian di negeri tengah serta timur laut Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan suhu lebih 30 darjah Celsius. - Agensi

------------

Info:

>Pada musim haji 2023, sekurang-kurangnya 240 kematian jemaah dari pelbagai negara direkodkan dan kebanyakannya daripada mereka ialah warga Indonesia.

>Kira-kira 1.8 juta jemaah mengerjakan haji pada tahun ini dan seramai 1.6 juta daripadanya ialah warga asing.