'Tangkap, heret pencuri air ke mahkamah' - Hajiji

Hajiji (depan) ketika hadir dalam mesyuarat Kabinet Sabah di Kota Kinabalu.
Hajiji (depan) ketika hadir dalam mesyuarat Kabinet Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya untuk mengheret pihak yang melakukan kegiatan mencuri air ke mahkamah.

Menurutnya, tindakan membawa pelaku tersebut ke muka pengadilan perlu dilakukan kerana kegiatan sambungan haram punca utama 60 peratus kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Sabah dan tertinggi di negara ini.

"Tangkap dan dakwa mereka di mahkamah.

"Begitu juga kilang-kilang yang didapati melakukan kegiatan tersebut harus di bawa ke mahkamah dan bukan hanya dikenakan kompaun," tegas beliau dalam mesyuarat Kabinet Sabah di sini pada Rabu.

Hajiji berkata, kabinet Sabah juga telah memanggil JANS untuk mendapatkan taklimat susulan demonstrasi sekumpulan individu termasuk mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menuntut isu air diselesaikan.

"Kabinet negeri telah diberi taklimat bahawa sejak dua bulan lalu, UMS hanya mengalami gangguan bekalan air selama sehari atau dua hari akibat paip pecah," katanya.

Tambah beliau lagi, JANS telah membekalkan air kepada UMS antara 4 juta hingga 7 juta liter setiap hari ditambah dengan telaga tiub yang boleh membekalkan satu juta liter air setiap hari.

"Saya ada meminta Naib Canselor UMS untuk melihat punca air tidak sampai kepada pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Kabinet juga telah diberi taklimat bahawa bekalan air semakin berkurangan disebabkan banyak sambungan haram dikesan dari lima kampung berhampiran dengan UMS.

"Sebab itu saya mahu pihak berkuasa JANS pergi ke lokasi dan memotong sambungan haram tersebut selain mengambil tindakan tegas kepada pelaku," katanya.

Katanya lagi, sambungan haram itu didapati membekalkan air ke beberapa kampung yang terletak di belakang UMS.

"Mungkin JANS boleh meletakkan tangki 500 liter di kawasan tersebut dan mengenakan bayaran kepada penduduk yang mahu bekalan air.

"Ini akan menghalang mereka daripada melakukan penyambungan haram semula ke paip utama," katanya.

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan pelbagai usaha telah dilakukan kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan air dan ini sekali gus menolak dakwaan daripada pihak pembangkang.

"Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tuaran juga sudah siap dan kini menunggu pemasangan paip air untuk disiapkan.

"Apabila siap ia akan menyediakan tambahan 160 juta liter sehari (MLD) untuk menampung bahagian utara Kota Kinabalu termasuk UMS dan kawasan sekitarnya.

"Selain itu, kerja-kerja meningkatkan bekalan air di bahagian selatan Pantai Barat yang akan memberi manfaat kepada orang ramai di Papar, Lok Kawi dan Putatan juga sudah bermula lapan bulan lalu dan dijangka siap menjelang 2026," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!