Siasatan kes jenayah tiada had masa

Laporan muka depan Sinar Ahad. Gambar kecil: Wan Azliana
Laporan muka depan Sinar Ahad. Gambar kecil: Wan Azliana
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan terhadap sesuatu kes jenayah tiada tempoh terhad dan tidak akan ditutup sehingga ia selesai sepenuhnya meskipun terpaksa mengambil masa berdekad lama.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) yang juga peguam, Wan Azliana Wan Adnan berkata, kes tersebut masih akan disiasat dan dibuat pendakwaan sekiranya mempunyai bukti atau petunjuk baharu.

Menurutnya, perkara itu berbeza dengan prosedur kes sivil yang mana pihak tertentu tidak boleh menuntut apa-apa selepas tempoh enam tahun berakhir.

“Sebenarnya banyak kes jenayah yang belum selesai, rasanya lebih daripada 100. Contohnya, kes Nurin Jazlin Jazimin pada tahun 2007 pun masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

“Kes seperti ini menemui jalan buntu kerana tiada sebarang petunjuk baharu dan kebanyakannya tertangguh, tetapi perlu difahami bahawa kes jenayah ini tiada had masa dan berbeza dengan kes sivil yang mana tidak boleh menuntut jika tempoh enam tahun berakhir.

“Saya percaya polis tidak pernah menutup mana-mana kes jenayah kecuali telah diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA). Kalau ada maklumat baharu, ia akan disiasat lagi walaupun kes tersebut sudah 20 tahun berlalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, banyak kes jenayah yang dilaporkan tidak mempunyai sebarang penyelesaian dan penangkapan walaupun ia telah berlaku beberapa tahun atau dekad lamanya.

Antara kes terbaharu yang masih menjadi misteri melibatkan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dibunuh di Damansara Damai pada Disember tahun lalu kerana sehingga kini pelaku masih belum dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes lain, pemain Selangor FC, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu dan sehingga kini pihak polis belum dapat menentukan motif serangan itu.

Sehubungan itu, Wan Azliana berkata, masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak polis untuk melaporkan sebarang kes jenayah yang didengari serta diketahui.

“Orang ramai memainkan peranan penting dalam membantu pihak polis dengan memberi sebarang maklumat atau menjadi saksi jika berada di tempat kejadian,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!