Ambil kira perspektif kebaikan sosial, kepentingan politik - MCW

Jais
Jais
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian sumbangan menggunakan sumber kerajaan menjelang pilihan raya perlu dilihat dan diambil kira daripada beberapa perspektif terlebih dahulu seperti kebaikan sosial, keikhlasan, kepentingan politik serta persepsi awam.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, sumbangan kepada masjid dan surau membantu dalam menganjurkan apa-apa aktiviti keagamaan atau kebajikan terutamanya ketika hari perayaan.

Menurut beliau, bantuan itu juga boleh digunakan untuk memperbaiki fasiliti dan menyokong aktiviti masyarakat setempat di samping memperkukuh hubungan sesama penduduk.

“Selain itu, jika pemberian ini dibuat dengan niat ikhlas tanpa mengharapkan balasan politik, ia merupakan langkah positif kerajaan dalam membantu komuniti.

“Aspek kepentingan politik pula, sumbangan ini boleh dipersoalkan dari segi etika terutamanya jika ia dilihat sebagai usaha untuk mempengaruhi pengundi menjelang pilihan raya kecil (PRK).

“Penggunaan sumber kerajaan untuk tujuan yang mungkin dilihat sebagai meraih sokongan politik boleh menimbulkan kebimbangan tentang keadilan dan ketelusan proses pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jais turut memaklumkan tindakan sedemikian mampu mencetuskan persepsi buruk dan menghakis keyakinan rakyat khususnya pengundi terhadap proses demokrasi di negara ini.

“Ada yang mungkin lihat ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan, tetapi ada juga menganggapnya strategi politik kurang beretika.

Artikel Berkaitan:

“Pemberian sumbangan menjelang pilihan raya adalah perkara yang sensitif, bergantung kepada niat di sebalik pemberian tersebut dan bagaimana ia diterima oleh masyarakat.

“Ketelusan dan niat murni dalam setiap tindakan kerajaan penting untuk memastikan kepercayaan serta keyakinan rakyat tidak tergugat,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!