Isyarat MH370 beri harapan pencarian semula pesawat
DAKWAAN penerimaan isyarat baharu daripada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dilaporkan 10 tahun dahulu memberi harapan kepada rakyat di negara ini agar ia ditemui semula.
Bagaimanapun, perkhabaran tersebut masih tidak mempunyai maklumat lengkap atau ulasan lanjut daripada pihak yang mengesan isyarat berkenaan.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, penyelidik Britain mendedahkan bahawa isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.
Penyelidik dari Wales dilaporkan mengambil isyarat enam saat menggunakan mikrofon bawah air atau hidrofon yang berpotensi membawa ke lokasi terakhir pesawat.
Hidrofon ini yang pada asalnya direka untuk mengesan ujian nuklear dilarang, mengambil isyarat sekitar masa pesawat itu dipercayai terhempas.
Berdasarkan kajian penyelidik, pesawat Boeing 777 seperti MH370 akan menjana tenaga kinetik setara dengan gempa bumi kecil jika ia terhempas pada kelajuan 200 meter sesaat.
Kesan sedemikian cukup besar untuk dirakam oleh hidrofon beribu-ribu batu jauhnya.
'Good Night, Malaysian Three Seven Zero' itu mesej radio terakhir dihantar menerusi kokpit pesawat Malaysia Airlines MH370, tepat jam 1.09 pagi pada 8 Mac 2014.
Sedekad berlalu, ayat tersebut menjadi ‘wasiat’ terakhir daripada pesawat Boeing 777 yang hilang tanpa jejak selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, tepat jam 12.42 tengah malam dengan membawa 239 penumpang bersama 12 anak kapal.
Tiada panggilan ‘mayday’ atau isyarat kecemasan dihantar selepas ia dilaporkan hilang dari radar menara kawalan ketika berada di ruang udara antara Vietnam dan Malaysia pada kira-kira jam 1.30 pagi.
Kejadian tersebut secara tidak langsung meninggalkan seribu tanda tanya kepada masyarakat dunia hingga kini.
Dianggap sebagai tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan negara, kehilangan misteri itu menuntut ‘kemahiran berfikir aras tinggi’ pelbagai pihak termasuk badan siasatan penerbangan dan pakar penerbangan.
Justeru diharapkan dengan penemuan ini, ia akan membawa kepada pengakhiran misteri kehilangan pesawat MH370 dan segala urusan berkaitan selesai sepenuhnya dengan teratur.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan isyarat tersebut sehingga pihak terlibat selesai melakukan siasatan terperinci mengenainya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!