Suami isteri kaki menyelam

Aktiviti menyelam membawa Ariff dan Ivalina ke jinjang pelamin.
Aktiviti menyelam membawa Ariff dan Ivalina ke jinjang pelamin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan sahaja di darat mereka hidup sebumbung, tetapi di dalam laut juga mereka bersama.

Begitulah pasangan Ariff Ismail dan isterinya, Ivalina Hanis yang masing-masing mempunyai hobi yang sama sebagai penyelam berlesen.

Mereka bukan sekadar menyelam untuk tujuan rekreasi tetapi menyelam dengan misi. Perkenalan sewaktu menyelam membawa mereka ke jinjang pelamin.

Ariff yang juga jurulatih Black Eyes Scuba Team (BEST) berkata, isterinya merupakan seorang jurutera awam namun sentiasa bersamanya dan dua anak ketika berlatih atau melatih penyelam di kolam renang atau di laut terbuka.

Kenangan Ivalina dan Ariff menyelam bersama.
Kenangan Ivalina dan Ariff menyelam bersama.

“Saya selalu membawa pelatih penyelam mengikuti latihan yang terdiri daripada anak-anak hinggalah kepada orang dewasa daripada pelbagai bangsa termasuk anak-anak ekspatriat,” jelasnya.

Menurut Ariff, pada 22 Jun ini, dia dan isterinya akan menyelam di sekitar perairan D’Lagoon, Pulau Perhentian, Terengganu bersama 28 penyelam lain dalam program Menyelam Mengutip Debri atau Dive Against Debris (DAD) dan pembersihan pantai di pusat peranginan itu.

Artikel Berkaitan:

Ariff, Ivalina
Ariff, Ivalina

Debri adalah bahan buangan dan sampah sarap yang tersangkut di dalam laut yang merosakkan terumbu karang.

Debri termasuk plastik, pukat hantu, botol, besi, tunggul dan batang kayu kotak atau bekas ikan, rangka kenderaan, permainan kanak-kanak yang rosak dan sebagainya.

Progam DAD yang memasuki fasa kedua itu diterajui Pejabat Daerah dan Tanah Besut bersama Yayasan Salam Malaysia (SALAM) dan BEST itu, seramai 100 sukarelawan termasuk dari China, Nigeria, Pakistan dan Jordan serta pelancong asing yang sedang bercuti di pulau itu turut bersama-sama mengutip sampah di pesisir Pulau Perhentian dan sekitarnya.

Fasa pertama DAD diadakan sebelum ketibaan monsun September tahun lalu.

Ariff berkata, program DAD yang ditaja oleh Kenanga Investors itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar dan kelestarian laut.

“Dengan 1,000 penyelam sekali pun adalah mustahil untuk mengeluarkan semua sampah sarap yang terperap di perut laut.

“Namun di sebalik program DAD, terselit mesej untuk menerapkan nilai-nilai mulia supaya rakyat memanfaatkan keindahan laut dan tidak membuang sampah di merata tempat termasuk di sungai dan laut,” ujarnya.

Ariff bersama dua anaknya yang turut didedahkan dengan aktiviti menyelam.
Ariff bersama dua anaknya yang turut didedahkan dengan aktiviti menyelam.

Menurut Ariff, daripada pengalamannya menyelam di laut, terumbu karang akan menjadi putih dan rosak akibat terlalu banyak sampah di dalam laut, apa yang dipanggil coral bleaching.

“Sampah sarap yang dibuang tidak pupus begitu sahaja, sebaliknya ia dihanyutkan arus dan masuk ke laut,” kongsinya.

Dalam program ini, setiap sampah sarap dan bahan buangan yang dikutip akan diasingkan mengikut kategori dan jenisnya, kemudian disukat, ditimbang dan direkodkan.

“Sampah yang dikutip akan diasingkan mengikut kategori dan jenis, kemudian ditimbang dan direkodkan bagi pengumpulan data.

“Data akan dihantar kepada pihak Taman Laut, Padi Aware Foundation dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mematuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pertubuhan itu.

“Sebagai pencinta alam khasnya di dasar laut, kami sangat bimbang melihat keadaan laut yang tercemar akibat sisa buangan ini. Inilah salah satu sebab SALAM dan BEST mengambil inisiatif mengadakan program ini,” ceritanya.

Bimbing sukarelawan penyelam

Beliau juga bimbang melihat buangan plastik yang banyak di dalam laut.

“Jika tidak buat apa-apa mulai sekarang, saya pasti lebih banyak plastik di bawah laut berbanding kehidupan akuatik dan marin.

“Misi yang kita nak buat ini adalah untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan penyelam,” jelas Ariff lagi.

Bagi Ivalina, dia yang suka kegiatan kembara mula berkecimpung dalam hobi ini sejak 2016 kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu.

“Pada mulanya sekadar mencuba dan mengikut kawan-kawan, sehinggalah saya mengambil lesen menyelam.

“Setakat ini sudah banyak pulau yang diterokai seperti Pulau Sipadan, Tioman, Payar, Langkawi dan sebagainya,” ceritanya.

Menurutnya, ini adalah kali kedua dia terlibat dalam program DAD.

Pada September tahun lalu, Ivalina terlibat dalam fasa pertama DAD di pulau yang sama.

“Saya setuju dengan program lawatan penyelam ke sekolah untuk memberi kesedaran kepada murid-murid supaya sayangkan keindahan laut dan alam.

“Mereka juga perlu menanam sifat jijik terhadap tindakan sesetengah pihak membuang barangan yang tidak diperlukan lagi ke laut,” tegas Ivalina.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!