Kurang manis kalau datang sekadar menjadi pemerhati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

UMAT Islam baru saja menyambut Aidiladha pada Isnin lalu. Seperti kebiasaan, kampung halaman menjadi destinasi kepulangan anak perantau.

Perkara utama pada perayaan ini ialah ibadah korban. Seperti kebiasaan, ramai berkongsi kisah berkaitan di media sosial.

Merak Jalanan juga tidak ketinggalan pulang ke kampung membantu keluarga melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

Apa yang menarik, amalan saling membantu antara penduduk masih diteruskan bermula daripada menyediakan hidangan kepada orang ramai sehinggalah kerja-kerja korban haiwan. Ia juga selari dengan tuntutan agama atas nama perpaduan ummah yang dianjurkan.

Namun, agak kurang manis jika ada sebilangan individu terutama lelaki yang mengambil bahagian dalam ibadah berkenaan datang hanya berpeluk tubuh memerhatikan orang lain melapah daging.

Kalau pun tak pandai, mungkin boleh belajar dengan mereka yang ada pengalaman dan ilmu bagi kerja itu boleh digunakan pada tahun mendatang.

Tidak ada salah kalau membantu mengikut kemampuan dan pengetahuan. Jika dari awal datangnya dengan berpakaian segak, agak mustahil untuk mengotorkannya.

Merak Jalanan pun bukan pandai sangat buat kerja-kerja melapah daging tetapi memegang nasihat ayah supaya pandai bawa diri masuk ke mana-mana majlis tidak kira kita lelaki atau wanita.

Artikel Berkaitan:

Jika ramai membantu maka kerja-kerja tersebut cepat dapat disiapkan selain meringankan tugas semua. Jangan pula kita dilihat sebagai orang yang tidak pandai bergaul dengan masyarakat.

Jangan hanya berharap kepada mereka yang telah berusia kerana bimbang satu hari nanti apabila mereka sudah tiada, siapa lagi penyambung untuk melaksanakan tugas-tugas melapah daging.

Aidiladha sinonim dengan amalan korban, jadi apa salahnya jika kita berkorban masa dan tenaga sekejap untuk membantu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!