Penglipur lara dalam agama mesti ditolak

Golongan pendakwah dan ustaz di negara ini perlu berhati-hati dalam membawakan kisah-kisah dan ilmu untuk dikongsi kepada masyarakat. Gambar hiasan
Golongan pendakwah dan ustaz di negara ini perlu berhati-hati dalam membawakan kisah-kisah dan ilmu untuk dikongsi kepada masyarakat. Gambar hiasan
A
A
A

PENGLIPUR lara menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud orang yang menghiburkan hati duka dengan menyampaikan cerita rakyat yang berunsur jenaka, biasanya diselitkan dengan syair, pantun, seloka dan sebagainya.

Penglipur lara atau disebut juga sebagai pelipur lara di Indonesia sering kali dirujuk sebagai khidmat seniman yang mahir atau pandai bercerita, bersyair dan berdendang sehingga melakonkan watak demi menghiburkan khalayak.

Mengikut sejarah, ketika masyarakat masih lagi buta huruf terutamanya di desa, penglipur lara amat diperlukan bagi menyampaikan sesuatu perkara lebih-lebih lagi dalam bidang seni dan sastera. Bahkan penglipur lara dijadikan profesion atau kerjaya seperti penyanyi, pemuzik sehinggalah pelakon drama dan filem.

Di istana Eropah pula, penglipur lara atau court jester ini dicari golongan raja untuk berhibur.

Dalam ilmu Pengajian Melayu, antara penglipur lara tersohor ialah Pawang Awa, rakyat negeri Perak yang membawakan Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Malim Dewa. Begitu hebat celoteh, penangan dan pembawaan sang penglipur lara ini sehinggakan sesiapa yang mendengarnya pasti terhibur.

Bagaimanapun, penglipur lara ini mesti dielakkan sama sekali dan ditolak dalam bidang agama. Ini kerana, agama sebagai panduan hidup bukan boleh dipermain-mainkan dengan gurauan dan kata-kata selain diceritakan dengan kisah-kisah yang tidak benar sumbernya.

Bukannya tidak boleh bergurau dalam agama, namun sekiranya golongan ustaz atau pendakwah membawakan cerita-cerita yang tidak sahih dan tiada sumber asalnya, ke manakah agama yang akan dibawa kelak?

Zaman sekarang pula masyarakat sudah terbuka dengan pelbagai ilmu cabang agama dan ada sebahagian yang celik ilmu boleh mengkaji isi kandungan yang dibawa ustaz atau penceramah.

Artikel Berkaitan:

Peristiwa direhatkan daripada bersiaran yang berlaku terhadap seorang ustaz selebriti baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran terutamanya golongan pendakwah dan ustaz.

Penceritaan beliau dalam membawakan sirah atau sejarah berkaitan junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW dan sepupu Baginda, Ummu Hani juga mendapat teguran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau mungkin terkenal dalam kalangan anak-anak muda dengan penyampaian santai dan bersahaja ketika mengupas sesuatu, namun ada batas-batas yang perlu dipatuhi.

Bukan isu tersebut sahaja dipertikaikan, malah beberapa lagi lontaran kata-kata dari mulutnya yang membuatkan pendengar tertanya-tanya.

Dari satu sudut, mungkin ada yang berkata, dia golongan ustaz takkan nak berbohong pula? Namun dengan ramainya golongan yang sudah celik ilmu agama sekarang ini, isi kandungan tersebut boleh dipertikaikan dan diperbetulkan dengan cepat.

Bukan mahu menafikan ilmu yang ditimba golongan ustaz dan pendakwah ini, namun pertuturan dan isi kandungan yang dibawa perlulah lebih berhemat dan berhati-hati sesuai dengan pegangan ajaran Islam di negara ini.

Seminggu dua ini juga tular rakaman video dari negara jiran mengenai seorang yang dikenali dengan Abuya Mama Ghufron yang mendakwa membawa ajaran Islam, boleh berbahasa Suryani dan bercakap dalam bahasa semut.

Beliau turut mendakwa telah menulis 500 buah kitab dalam bahasa Suryani namun tidak mahu mendedahkannya kepada umum dan pelbagai lagi kisah-kisah yang pelik dibawakannya.

Apakah golongan seperti Abuya Mama Ghufron ini yang lebih kepada penglipur lara mahu diangkat sebagai ustaz dan menjadi ikutan masyarakat. Tidak sama sekali!

Oleh itu, golongan pendakwah dan ustaz di negara ini perlu berhati-hati dalam membawakan kisah-kisah dan ilmu untuk dikongsi kepada masyarakat. Pastikan benar-benar sahih atau jika hadis tersebut daif sekalipun terutamanya dalam fadilat amalan, perlu berhati-hati dalam menyampaikannya.

Jangan pula niat untuk menyebarkan ilmu agama, tetapi akhirnya dicap sebagai penglipur lara dan menjatuhkan martabat serta imej Islam di mata masyarakat.

* Muhamad Tarmize Mohd Nor ialah Editor Sinar Islam

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!