Angkat isu autisme, Bunga Salju terima respon positif

Bunga Salju menampilkan gandingan Hisyam Hamid sebagai Azizi, Amyra Rosli (Qaisara) dan Hariz Hamdan (Farouk).
Bunga Salju menampilkan gandingan Hisyam Hamid sebagai Azizi, Amyra Rosli (Qaisara) dan Hariz Hamdan (Farouk).
A
A
A

ISU melibatkan autisme mungkin sering diperkatakan, tetapi tidak di dalam penerbitan drama mahupun filem.

Justeru bagi memberi kelainan, Metrowealth International Group (MIG) menampilkan jalan cerita yang berbeza dan segar mengenai isu autisme dalam drama Bunga Salju di slot Tiara, Astro Ria.

Drama yang disiarkan setiap jam 6 petang itu menampilkan gandingan mantap Hisyam Hamid sebagai Azizi, Amyra Rosli (Qaisara) dan Hariz Hamdan (Farouk) telah meninggalkan kesan di hati penonton.

Menurut penerbit iaitu David Teo, pihaknya gembira dengan sambutan yang diberikan penonton.

“Mulanya pihak kami agak bimbang peminat drama mungkin tidak mahu tonton drama tentang autisme, tetapi kami silap kerana Bunga Salju mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton.

“Saya sendiri difahamkan Bunga Salju mendapat rating tertinggi untuk slot Tiara di Astro Ria setakat ini dan apa yang membanggakan drama ini masih belum tamat dan berbaki banyak episod lagi,” ujar David Teo.

Hisyam berjaya menterjemahkan karakter lelaki autisme dengan berkesan.
Hisyam berjaya menterjemahkan karakter lelaki autisme dengan berkesan.

Sementara itu, pengarah Bunga Salju, Ejump Mohd berkata, dia berasa bimbang ketika mula-mula menerima naskhah tersebut apatah lagi isu autisme sudah diketahui secara meluas oleh masyarakat umum.

Artikel Berkaitan:

“Ketika mendapat karya Bunga Salju jujurnya saya tidak lena tidur, bimbang kerana ini bukan drama yang klise sebaliknya saya perlu buat banyak kajian terutama untuk watak Azizi seorang lelaki autisme.

“Kami ada sesi selama dua hari di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bersama barisan pelakon untuk melihat sendiri karakter orang autisme dengan lebih dekat.

“Alhamdulillah, saya tidak jangka drama ini mendapat sambutan yang luar biasa. Rasanya kami membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan pelakon. Sebagai pengarah saya bersyukur kami dapat menyampaikan kesedaran tentang autisme kepada semua peringkat usia,” kata Ejump.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!