AP Terbuka bangunkan rantaian bekalan tempatan, latih tenaga kerja mahir
SHAH ALAM - Pemberian AP Terbuka kepada syarikat bumiputera yang tidak pernah menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan mampu membangunkan rantaian bekalan tempatan, latihan serta pendidikan kepada tenaga kerja mahir di negara ini.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, apabila bumiputera mampu menembusi sektor automotif terutamanya berasaskan teknologi hijau, ia memberi ruang kepada belia yang menjalani program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk bekerja dalam industri berkenaan.
Menurutnya, jumlah penglibatan syarikat yang bertambah juga berpotensi meningkatkan peluang pekerjaan dan secara tidak langsung dapat membangunkan ekosistem negara dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi setanding Jepun atau Korea.
“Perdasama menyambut baik inisiatif Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Ia bakal menjadi satu anjakan besar.
“Penyertaan bumiputera akan ramai terutamanya kepada kerja pemasaran alat ganti, komponen elektrik dan elektronik, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta aksesori kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan inisiatif yang bakal berkuat kuasa 1 Julai ini adalah selaras dengan usaha kementerian berkenaan untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.
Pelaksanaan dasar tersebut dijangka menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif dan pertambahan jumlah penyertaan berpotensi menjadikan segmen itu lebih kompetitif serta berdaya saing.
Mohd Azamanizam menjelaskan, pendekatan itu selari dengan Dasar Perindustrian Nasional Malaysia (NIMP) dalam usaha mengubah landskap industri menjadi lebih berdaya saing, inovatif dan mampan.
Justeru, katanya, penerbitan senarai penerima AP Terbuka perlu diumumkan secara berkala dan dikemas kini setiap tahun.
Tambahnya, ia bagi membolehkan orang awam dan pihak berkepentingan melihat siapa yang menerima AP serta kuantiti yang diberi.
“Selain itu, diharapkan agar MITI dapat menyediakan panduan jelas berkaitan kriteria kelayakan, prosedur permohonan dan penilaian berdasarkan keperluan pasaran serta ke-pentingan nasional.
“Ia perlu dibuat agar tiada lambakan yang boleh merencatkan perniagaan kenderaan berasaskan pengimportan dan penjualan kenderaan sedia ada di negara ini,” jelasnya.
Sementara itu, pakar automotif, Hezeri Samsuri berpendapat, MITI sudah melakukan perkara yang dijanjikan dan sesiapa sahaja boleh mencuba nasib bagi mendapatkan AP Terbuka.
Menurutnya, pasaran kereta import terpakai ketika ini sememangnya tiada pengawasan terperinci dan pendekatan dibuat MITI patut diberikan kepada syarikat bumiputera yang benar-benar layak.
“Bagaimanapun, harapan saya agar satu piawaian dikenakan kepada industri ini. Sebagai contoh, piawaian keselamatan, kualiti dan undang-undang Recall serta Lemon Law.
“Jika tidak, pengimport hanya menjual atau lepas tangan kalau ada isu dan mangsanya ialah pembeli,” kata beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!