[VIDEO] 6 kematian baharu, keseluruhan 14 jemaah haji Malaysia meninggal dunia

A
A
A

MAKKAH - Tabung Haji (TH) melaporkan enam kematian baharu yang menjadikan keseluruhan jumlah kematian setakat 19 Jun seramai 14 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, enam jemaah haji tersebut sempat berwukuf di Arafah.

“Saya dan Pengurusan Kanan TH ingin mengucapkan salam takziah kepada waris mangsa dan sama-samalah kita berdoa agar semua urusan waris dipermudahkan,” katanya dalam sidang media, pada Rabu.

Jemaah haji yang terlibat, Allahyarham Bawi Solek, 75, berasal dari Kampung HIlir, Pusa, Sarawak, meninggal dunia pada 17 Jun akibat serangan jantung.

Allahyarham Raksan@Hassan Matasil, 74, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah meninggal dunia pada 18 Jun akibat serangan jantung.

Madon Mohamed, 71, berasal dari Masai, Johor, meninggal dunia pada 18 Jun akibat paru-paru berair disebabkan kegagalan jantung.

Artikel Berkaitan:

Mohd Naim (tengah) dalam sidang media bersama Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain (kiri) dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Mohd Naim (tengah) dalam sidang media bersama Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain (kiri) dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Roba'ayah Yusoff, 71, berasal dari Beruas, Perak, dan Syed Abu Hassan Basri Syed Ahmad, 74, berasal dari Sauk, Perak yang mana kedua-duanya meninggal dunia pada 19 Jun akibat serangan jantung.

Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, berasal dari Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah.

Sementara itu, Mohd Naim memberitahu seramai 79 orang jemaah berada di Pusat Rawatan TH dan tiga berada di Klinik Kecemasan Janadriyah, manakala seramai 12 orang pesakit sedang menerima rawatan di Hospital Arab Saudi.

Katanya, kebanyakan kes-kes adalah melibatkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca yang panas dan kering.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!