Agamawan perlu hati-hati beri pandangan - Mohd Na'im

Pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid sebelum ini memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.
Pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid sebelum ini memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.
A
A
A

MAKKAH - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengulangi nasihat kepada agamawan supaya berhati-hati dalam menyampaikan pandangan dan perlu menyemak rujukan yang sahih.

Beliau berkata, agamawan perlu berlapang dada untuk mengatakan tidak tahu jika kurang arif dalam menjawab soalan yang bukan bidang mereka.

Menurutnya, masyarakat sangat memandang tinggi golongan agamawan sehinggakan apa yang diucapkan akan diterima kerana mereka sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan.

“Saya minta kepada agamawan, untuk sentiasa berhati-hati dalam memberi pandangan masing-masing.

Pastikan rujukan yang dibuat berdasarkan kepada keyakinan rujukan tersebut.

Tak salah untuk mengatakan tidak tahu kerana Imam Malik, Imam Syafie apabila ditanya oleh anak murid, kalau tak tahu, jawab tidak tahu.

“Kita ini masalahnya kadang-kadang apabila ada soalan, kita nak jawab semua.

Sepatutnya perkara yang kita tidak tahu, kita jawab tidak tahu. Ini yang ajarkan oleh ulama terdahulu,” katanya dalam satu sidang media bersama petugas media, di sini, semalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika mengulas permohonan maaf pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid berikutan memberi kenyataan mengelirukan berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.

Don Daniyal atau dikenali sebagai Ustaz Don mengakui jawapan yang diberikan di sebuah stesen radio itu telah menimbulkan salah faham.

Mohd Naim berkata, beliau terkilan isu ini masih berlarutan walaupun sebelum ini telah memberi arahan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berbincang dengan Ustaz Don.

“Saya terkilan kerana saya telah bagi arahan untuk pengarah Jakim untuk berbincang dengan Ustaz Don itu sendiri.

Saya difahamkan bahawa beliau telah memohon maaf dan mengakui kesilapan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, ilmu pengetahuan perlu disampaikan berdasarkan sumber dan rujukan yang diyakini penceramah tersebut kerana setiap agamawan mempunyai pengkhususan tertentu.

“Nasihat saya apabila mahu menyampaikan ilmu pengetahuan itu, biarlah ia didasarkan kepada sumber-sumber dan rujukan yang kita yakini.

Agamawan ini mempunyai pengkhususan, kalau dalam bidang hadis, kita mempunyai agamawan yang pakar hadis,” katanya.

Sementara itu, Mohd Naim turut menasihati agensi media agar memastikan penceramah yang dipilih mempunyai tauliah daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing..

“Media boleh juga merujuk kepada Jakim kerana mempunyai senarai penceramah yang mendapat tauliah.

Sekurang-kurangnya penceramah ini telah ditapis. Itu harapan saya. Perlu selalu membuat rujukan jika ada sebarang musykil,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!