Kenakan hukuman berat terhadap samseng jalanan

Lagak samseng jalanan sehingga membawa kepada pergaduhan kerap kali dilaporkan seolah-olah ada pihak menganggapnya bukan satu kesalahan serius. Gambar hiasan
Lagak samseng jalanan sehingga membawa kepada pergaduhan kerap kali dilaporkan seolah-olah ada pihak menganggapnya bukan satu kesalahan serius. Gambar hiasan
A
A
A

LAGAK samseng jalanan sehingga membawa kepada pergaduhan kerap kali dilaporkan seolah-olah ada pihak menganggapnya bukan satu kesalahan serius.

Hakikat sebenar adalah tindakan semberono hingga menyebabkan kecederaan, menyusahkan pengguna lain dan lebih membimbangkan apabila membawa maut yang boleh didakwa di bawah undang-undang.

Antara akta yang ada ialah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Mei lalu, polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lagi individu di Jalan Pending, Kuching, Sarawak selepas menerima laporan berkaitan satu video tular di aplikasi X.

Pada Mac pula sikap tidak mahu bertolak ansur ketika melalui jalan sempit punca berlakunya provokasi antara dua pihak sehingga melibatkan senjata seperti parang dan besi dalam satu pergaduhan di Pekan Kota Belud, Sabah.

Sementara pada Februari, tular mengenai lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam pergaduhan menggunakan tongkat di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, Johor.

Siasatan awal polis mendapati suspek menggunakan lorong kecemasan ketika lebuh raya sesak dan kenderaannya dihalang oleh sebuah kenderaan milik lelaki tempatan.

Situasi tersebut menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan berlaku pertengkaran mulut.

Provokasi dan kemarahan adalah perkara yang perlu dielakkan sewaktu menggunakan jalan raya kerana mengundang kepada pergaduhan yang boleh memberi kesan buruk dan rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

Tiada kawalan emosi, tidak berhemah dan kurang kerjasama merupakan antara antara perkara yang mengundang kepada risiko provokasi dan pergaduhan di jalan raya.

Terdapat banyak saranan kepada pengguna jalan raya jika berdepan situasi buli jalan raya berlaku, antaranya tidak mencetuskan suasana tegang dengan menegakkan hak masing-masing.

Pihak terlibat tidak perlu keluar daripada kenderaan jika terdapat ancaman selain mencatat maklumat penting seperti nombor pendaftaran, jenis kenderaan, warna dan perincian mengenai pembuli serta segera membuat laporan polis.

Selain itu, hukuman ke atas pesalah yang melakukan provokasi dan buli wajar diperingkatkan dengan membatalkan terus lesen memandu agar menjadi iktibar kepada pengguna jalan raya lain jika mahu bertindak melanggar undang-undang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!