Operasi Masyair 1445H/2024M berjalan lancar

Jemaah haji berjalan kaki menuju ke kawasan jamrah bagi melaksanakan ibadah melontar.
Jemaah haji berjalan kaki menuju ke kawasan jamrah bagi melaksanakan ibadah melontar.
A
A
A

MAKKAH - Operasi Masyair bagi musim 1445H/2024M berjalan dengan lancar dan baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar setelah beliau meninjau sendiri operasi secara dekat dan mendengar reaksi jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata, sepanjang operasi Masyair, jemaah haji Malaysia sekali lagi menunjukkan disiplin yang baik sehingga mendapat pujian daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Rabiah.

Menurutnya, walaupun terdapat sedikit kekurangan namun, operasi pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada jemaah yang sabar dan beri kerjasama baik kepada petugas sehingga operasi dapat berjalan dengan baik dan sempurna.

“Walaupun ada sedikit kekurangan tetapi secara umumnya perjalanan haji ini dengan berkat dan pertolongan serta komitmen yang diberikan jemaah haji menyebabkan operasi haji berjalan lancar dan baik,” katanya dalam satu sidang media bersama petugas media, di sini, pada Rabu.

Jemaah haji Maktab 80 ketika mendengar khutbah Arafah yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Jemaah haji Maktab 80 ketika mendengar khutbah Arafah yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Turut hadir ialah Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pejabat operasi Masyair yang ditutup pada Rabu menandakan berakhirnya operasi Masyair dan seramai 48 peratus daripada 31,600 jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan Nafar Thani dan selebihnya telah melaksanakan Nafar Awal pada 18 Jun.

Artikel Berkaitan:

“Saya ambil kesempatan ucapkan terima kasih kepada pasukan Tabung Haji yang main peranan segalanya untuk pastikan kebajikan jemaah haji terjamin.

Syabas dan tahniah kepada petugas haji,” katanya.

Beliau sekali lagi memuji kegigihan dan kesungguhan petugas haji yang tidak kenal penat lelah dalam menyantuni jemaah haji Malaysia.

“Pengorbanan ditunjukkan dan dipamerkan oleh petugas haji yang sangat komited dan ikhlas dalam memberikan perkhidmatan baik kepada jemaah Malaysia.

“Ada jemaah haji yang kata, anak dia sendiri pun tak buat macam petugas haji buat.

Keadaan jemaah haji Malaysia ketika bermalam di Muzdalifah.
Keadaan jemaah haji Malaysia ketika bermalam di Muzdalifah.

Ini satu penghargaan yang ikhlas diberikan oleh ibu dan ayah terhadap petugas haji.

“Saya doakan semoga ALLAH beri ganjaran pahala yang besar bukan sahaja kepada perkhidmatan tetapi juga kesabaran kerana saya tahu di Mina dengan cuaca panas ada perasaan nak marah tetapi mereka kekal tenang melayan jemaah haji,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan TH akan membuat penambahbaikan bagi musim hadapan dengan mengambil kira segala aduan dan pandangan jemaah haji pada musim ini dan berharap dapat perbincangan dengan Kementerian Arab Saudi dapat memperbaiki masalah yang timbul.

Sementara itu, Mohd Naim turut memaklumkan bahawa Malaysia memenangi anugerah Labbaitom bagi kategori tahap tertinggi kepuasan pelanggan buat kali ketiga berturut-turut.

“Alhamdulillah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi berbesar hati menyampaikan anugerah kepada saya selaku wakil kerajaan dalam satu majlis penghargaan pada malam semalam (18 Jun).

“Sudah tentu ini mencerminkan usaha daripada pelbagai pihak, terutamanya Tabung Haji yang sentiasa menambah baik tahap perkhidmatannya dan juga jemaah negara kita yang sudah cukup terkenal dengan ilmu dan disiplin yang baik,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!